Pelakon Bollywood dan juga bekas ratu cantik dunia, Aishwarya Rai Bachchan, menggesa supaya tindakan segera diambil pihak kerajaan bagi melindungi hak dan keselamatan wanita di India.

Beliau mengulas peningkatan kes perkosaan terhadap wanita di negara itu termasuk kejadian rogol beramai-ramai di atas bas sehingga melibatkan kematian seorang pelajar 2 bulan lalu.

Pelajar perubatan di New Delhi yang berusia 23 tahun itu diserang menggunakan batang besi serta dirogol sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat di seluruh negara.

Aishwarya Rai antara lain menuntut satu tindakan tegas dilaksanakan terhadap pelaku selain menuntut penambah-baikkan undang-undang terutamanya berkaitan serangan seksual terhadap wanita di negara itu.

“Perlu ada undang-undang yang jelas bagi pesalah ini, mereka harus dihukum dengan segera. Dengan pelaksanaan hukuman itu kita bakal melihat perubahan dikalangan masyarakat ke arah yang lebih positif,” kata Aish.

Menurut beliau, jenayah rogol berkumpulan dan gangguan seksual adalah perkara yang sering berlaku di India namun kes pelajar yang meninggal dunia akibat dirogol itu telah membuka mata semua pihak selain mendapat kritikan hebat dari seluruh dunia.

"Saya tidak berasa takut. Sebaliknya berasa marah selain tidak teragak-agak untuk menyuarakan pendapat ini. Ramai di antara kita yang bernasib baik kerana mempunyai jaminan keselamatan, tetapi kebanyakan wanita di negara kita tidak mempunyai kelebihan itu," katanya lagi.

Lima suspek kes rogol berkenaan sedang dibicarakan di mahkamah atas pertuduhan membunuh, merogol dan menculik manakala perbicaraan suspek keenam dikendalikan di mahkamah juvana.

“Insiden ini telah membawa banyak perhatian dan kesedaran bagaimanapun perubahan itu perlu datang dengan segera,” katanya yang berada di atas permaidani merah di Festival Filem Cannes.