Ajaib! Kucing hitam ini ditemukan selamat dalam runtuhan kondominium Miami

Hasimi Muhamad
Julai 10, 2021 04:49 MYT
Binx yang menghuni di tingkat sembilan kondominium Champlain Towers South ditemukan selamat oleh pasukan penyelamat. -Facebook Gina Nicole Vlasek
DI SEBALIK angka kematian yang semakin meningkat susulan kejadian runtuhan bangunan kondominium di Miami, Florida di Amerika Syarikat bulan lalu, sekurang-kurangnya ada berita gembira dan 'keajaiban' berlaku.
Ketika dunia berduka dengan kejadian yang maragut puluhan nyawa dengan tiada harapan mangsa yang terselamat, seekor kucing berwarna hitam ditemukan selamat.
Kucing bernama Binx itu kemudian disahkan menghuni di kondominium berkenaan di tingkat sembilan.
Memetik laporan AP, pengasas bersama The Kitty Campus, Gina Nicole Vlasek menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan kucing berwarna hitam itu dijumpai berhampiran runtuhan bangunan Champlain Towers South di Surfside pada Khamis malam.
Sumber Facebook regina.vlasek
Si comel itu kemudian dibawa ke pusat pertubuhan itu di Miami.
Menurut Vlasek, pemilik kucing tersebut berkunjung ke The Kitty Campus sebelum mengesahkan bahawa 'kucing bertuah' itu miliknya.
"Kami sangat bersyukur dapat membantu," tulis Vlasek.
Sementara itu, Datuk Bandar Miami-Dade County Daniella Levine Cava dalam sidang medianya berkata Binx dicam oleh seorang sukarelawan yang memberi makan kepada kucing berdekatan struktur yang runtuh.
"Saya gembira keajaiban kecil ini dapat membawa sinar dalam kehidupan keluarga yang sedang bersedih hari ini dan mungkin memberi harapan kepada seluruh masyarakat di kala tragedi yang amat dahsyat ini," katanya.
Susulan pertemuan itu, Levine Cava mengarahkan kakitangan penjagaan haiwan untuk meletakkan perangkap haiwan di kawasan berkenaan dengan harapan dapat menyelamatkan binatang yang lolos daripada runtuhan itu.
Pada 24 Jun lalu, struktur bangunan 12 tingkat Champlain Towers South di Surfside runtuh dan meragut nyawa lebih 70 mangsa dengan lebih 60 yang masih belum ditemukan.
BACA: Korban kondominium runtuh di Miami meningkat kepada 78
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Kondominium 12 tingkat di Miami runtuh

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!

#Kucing Binx selamat #Runtuhan kondominium Miami #Kucing selamat dalam runtuhan #Miami runtuhan #pencinta haiwan #The Kitty Campus #Champlain Towers South