DUNIA

Akademi dron Jepun bangunkan sistem AI kesan beruang

Bernama 20/12/2025 | 23:45 MYT
Sistem itu mampu mengesan beruang yang terlindung daripada pandangan di kawasan pergunungan atau bandar. - Foto REUTERS
TOKYO: Sebuah sekolah latihan dron di timur laut Jepun sedang membangunkan sistem baharu menggunakan dron dan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti serta menjejak beruang secara automatik, susulan peningkatan insiden berkaitan haiwan berkenaan, lapor Agensi Berita Kyodo.

Sistem yang dibangunkan oleh D-Academy Tohoku di Gojome, Wilayah Akita itu mampu mengesan beruang yang terlindung daripada pandangan di kawasan pergunungan atau bandar, serta berkongsi lokasinya menerusi telefon pintar. Sistem itu dijangka tersedia pada 2026 dan mula menarik minat pihak berkuasa tempatan.

Pesawat berkenaan yang berukuran 98 sentimeter (sm) panjang, 76 sm lebar dan 48 sm tinggi, akan dilengkapi dengan kamera nampak malam serta kamera inframerah untuk mengukur suhu.

Sebaik menerima laporan penglihatan beruang, juruterbang akan melancarkan pesawat untuk terbang di ruang udara kawasan terbabit sambil menghantar imej secara langsung.

Imej berkenaan dianalisis oleh perisian AI yang dipasang pada komputer peribadi, dan sekiranya beruang dikesan, pesawat akan bertukar kepada mod penerbangan autonomi untuk menjejak haiwan itu.

Dengan tempoh penerbangan selama sejam, dron berkenaan akan menyerahkan tugas pemantauan kepada pesawat lain dan kembali ke pangkalan secara automatik sebelum baterinya habis.

Data lokasi yang diperoleh melalui GPS akan dikongsi secara masa nyata kepada kerajaan, polis dan kelab pemburu menerusi aplikasi telefon pintar khas.

Akademi berkenaan meningkatkan ketepatan pengesanan AI dengan mengumpul gambar beruang hitam dan beruang coklat melalui kerjasama dengan sebuah zoo di Kitaakita. Hasilnya, sistem itu mampu mengenal pasti haiwan terbabit walaupun sebahagian besar badannya terlindung, sesuatu yang sukar dikesan oleh mata kasar manusia.

Kanako Ishii dari D-Academy Tohoku berkata menerusi sistem baharu itu, tenaga kerja yang kecil mampu mencari beruang di kawasan yang luas, selain pengesanan awal memberikan lebih banyak pilihan berbanding membunuh haiwan itu, seperti menghalaunya atau memberi amaran kepada orang awam.

"Kami berharap dapat membina sistem yang mengurangkan pertembungan yang malang antara manusia dan beruang serta menggalakkan pengasingan yang lebih baik antara kedua-duanya," katanya.

Beberapa syarikat lain turut membangunkan sistem serupa termasuk NTT Docomo Business Inc. dengan kerjasama sebuah kampung di Wilayah Fukushima sejak Oktober, manakala Fujitaka Corp. mula menawarkan dron pengesan beruang dilengkapi AI pada November.

-- BERNAMA






#sekolah latihan dron #beruang #D-Academy Tohoku #GPS