[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
INTERNATIONAL

Akaun X PM Republik Czech digodam, kandungan palsu disiarkan

Bernama 08/04/2025 | 15:32 MYT
Petr Fiala menjelaskan bahawa akaunnya menjadi sasaran serangan yang dipercayai dilakukan dari luar negara. - Reuters
ISTANBUL: Akaun X milik Perdana Menteri Republik Czech, Petr Fiala digodam dan kandungan palsu telah disiarkan pada pagi Selasa, menurut pihak berkuasa negara itu.
Antara kandungan yang disiarkan ialah dakwaan serangan oleh tentera Rusia ke atas pasukan Czech berhampiran sempadan Kaliningrad, serta tindakan balas Czech terhadap tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Walaupun semua langkah keselamatan diambil, profil perdana menteri di platform X telah diserang pagi ini," kata jurucakap kerajaan Lucie Michut Jesatkova kepada agensi berita CTK.
Dalam kenyataan susulan menerusi akaun X yang sama, Fiala menjelaskan bahawa walaupun akaunnya dilindungi dengan sistem keselamatan yang ketat termasuk pengesahan dua faktor, ia tetap menjadi sasaran serangan yang dipercayai dilakukan dari luar negara.
Beliau turut mengesahkan bahawa penyerang berjaya menceroboh akaunnya dan menerbitkan kandungan palsu.
Pihak berkuasa kini bekerjasama dengan polis bagi menyiasat insiden berkenaan dan mengenal pasti pelaku.
-- BERNAMA
#godam #akaun X #Petr Fiala #Republik Czech