KERAJAAN Britain dipersoal di Parlimen selepas sistem saringan negara itu gagal melaporkan 15,841 kes positif COVID-19.

Jelas Setiausaha Kesihatan Matt Hancock, isu itu berpunca daripada masalah teknikal yang dikesan pada Jumaat lalu dan kini telah diatasi pihak berkuasa.

“Pada malam Jumaat, Public Health England (PHE) mengenal pasti bahawa dalam tempoh lapan hari sebelum itu, sebanyak 15,841 kes positif tidak termasuk dalam laporan kes harian.

“Ini akibat kegagalan menghantar fail dari makmal ke sistem data PHE,” jelas Hancock di Parlimen pada Isnin.

Beliau bagaimanapun memastikan bahawa setiap orang yang disahkan positif telah dimaklumkan dan diarah untuk mengasingkan diri.

Isu tersebut dipercayai berpunca daripada masalah penyimpanan fail menerusi Excel sekali gus gagal dimasukkan dalam rekod sistem pengesanan kontak rapat.

“Keputusan positif ini tidak dimaklumkan dalam data awam dan tidak dihantar ke sistem pengesanan kontak,” ujar Hancock.

Kegagalan pihak berkuasa untuk memaklumkan kepada kontak rapat bagi hampir 16,000 kes positif dijangka mendedahkan orang ramai kepada jangkitan COVID-19.

United Kingdom merekodkan 12,594 kes baharu COVID-19 pada Isnin, menurun daripada lebih 20,000 kes baharu pada Ahad.