[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Akses bantuan Gaza: PM Belanda beri amaran kenakan tindakan terhadap Israel

Bernama 29/07/2025 | 04:15 MYT
Schoof berkata matlamat kerajaan Belanda adalah jelas, rakyat di Gaza mesti mendapat akses segera kepada bantuan kemanusiaan. - Gambar fail/Reuters
THE HAGUE: Kerajaan Belanda mungkin mengambil tindakan terhadap Israel sekiranya perjanjian yang membenarkan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak dihormati, kata Perdana Menteri Dick Schoof menerusi hantaran di platform X pada Isnin, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Belanda beri amaran kepada Israel: PM Dick Schoof menyatakan Belanda mungkin bertindak secara unilateral jika Israel gagal mematuhi perjanjian bantuan kemanusiaan ke Gaza.
  • Mesyuarat tergempar & komunikasi langsung: Mesyuarat khas diadakan bersama menteri kanan dan mesej tegas disampaikan kepada Presiden Israel, Isaac Herzog melalui panggilan telefon.
  • Tindakan EU turut dipertimbangkan: Perjanjian EU-Israel mengenai akses bantuan akan dikaji semula dan tindakan boleh diambil jika komitmen tidak dipenuhi.


"Matlamat kerajaan adalah jelas: rakyat di Gaza mesti mendapat akses segera, tanpa halangan dan selamat kepada bantuan kemanusiaan," kata Schoof.

Beliau mengadakan mesyuarat tergempar di The Hague semasa musim cuti musim panas dan memanggil beberapa menteri kanan termasuk Timbalan Perdana Menteri Sophie Hermans, Menteri Luar Caspar Veldkamp dan Menteri Pertahanan Ruben Brekelmans bagi membincangkan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.

Perdana Menteri itu turut memaklumkan bahawa Belanda bersedia mengambil langkah sepihak sekiranya perlu.

"Kami juga sedang mempertimbangkan tindakan di peringkat nasional bagi meningkatkan tekanan," kata beliau.

Mesej terbabit disampaikan secara langsung kepada Presiden Israel Isaac Herzog menerusi panggilan telefon pada Isnin, kata Schoof.

Awal bulan ini, Kesatuan Eropah (EU) mencapai perjanjian dengan Israel bagi memudahkan akses bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Perjanjian itu dijadual dikaji semula oleh negara-negara anggota EU pada Selasa dan sekiranya Israel didapati gagal memenuhi komitmennya, tindakan lanjut mungkin diambil di peringkat EU.

-- BERNAMA



#akses bantuan ke Gaza #Perdana Menteri Belanda #amaran kepada Israel #bantuan kemanusiaan #Dick Schoof