DUNIA

Aktivis Afrika Selatan sertai Global Sumud Flotilla, kecam tindakan Israel

Bernama 27/09/2025 | 02:00 MYT
Antara yang berada di atas kapal ialah beberapa rakyat Afrika Selatan, termasuk Mandla Mandela, cucu kepada mendiang bekas presiden Nelson Mandela, yang telah lama terlibat dalam usaha kemanusiaan untuk Gaza. - Foto fail/REUTERS
JOHANNESBURG: Ketika Flotila Sumud Global (GSF) yang membawa bantuan antarabangsa berlayar menuju ke Semenanjung Gaza, aktivis Afrika Selatan yang terlibat dalam misi itu telah menggesa masyarakat antarabangsa menentang apa yang mereka sifatkan sebagai tindakan genosid oleh Israel, lapor Xinhua.

GSF yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal dan peserta dari lebih 40 negara, bertujuan untuk memecahkan sekatan Israel yang dikenakan sejak 2007 dan menghantar bantuan makanan serta perubatan kepada rakyat Palestin.

Kumpulan konvoi itu berdepan beberapa serangan berulang, termasuk serangan dron ke atas beberapa kapal di perairan Greece pada Rabu.

Antara yang berada di atas kapal ialah beberapa rakyat Afrika Selatan, termasuk Mandla Mandela, cucu kepada mendiang bekas presiden Nelson Mandela, yang telah lama terlibat dalam usaha kemanusiaan untuk Gaza.

Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di X pada Khamis, Mandela merayu masyarakat antarabangsa menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin. "Terima kasih atas segala solidariti dan sokongan anda, dan kami berharap anda terus menggerakkan penentangan terhadap embargo oleh rejim aparteid Israel dan memastikan semua negara di Utara dan Selatan Global bersatu menamatkan genosid," katanya.

Jabatan Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan pada Khamis berkata kerajaan mengalu-alukan sokongan negara-negara yang telah memudahkan laluan selamat flotila itu. Itali dan Sepanyol mengerahkan kapal tentera laut untuk membantu kapal-kapal berkenaan susulan serangan dron pada Rabu.

-- BERNAMA





#Global Sumud Flotilla #Israel #Gaza #aktivis Afrika Selatan