NEW DELHI: Aktivis pendidikan dan alam sekitar terkenal India, Sonam Wangchuk, terus bertegas meneruskan mogok lapar meskipun keadaan kesihatannya semakin merosot selepas 16 hari tidak menjamah makanan sebagai tanda protes menuntut reformasi sistem pendidikan negara itu.
Menurut laporan kesihatan terkini yang dikeluarkan pada Isnin, Wangchuk, 59, telah kehilangan sebanyak 8.2 kilogram berat badan, dengan bacaan tekanan darah menurun kepada 107/70, manakala paras gula dalam darahnya jatuh kepada 67.
Keadaan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokongnya, dengan ribuan individu menggesa beliau menamatkan mogok lapar berkenaan demi keselamatannya.
Namun, Wangchuk tetap berpendirian tegas.
“Saya lemah dari luar, tetapi saya kuat dari dalam. Saya perlu meneruskan apa yang telah saya mulakan sehingga mencapai kesimpulan yang sewajarnya,” katanya.
Mogok lapar itu berlangsung di Jantar Mantar, lokasi protes terkenal di ibu negara India, yang dianjurkan oleh gerakan satira dalam talian dikenali sebagai Cockroach Janta Party (CJP) bagi menuntut pembaharuan dalam sektor pendidikan negara.
Gerakan tersebut diketuai oleh pengasasnya, Abhijeet Dipke, yang mendesak Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan, meletakkan jawatan selepas peperiksaan kemasukan utama bagi pelajar perubatan dibatalkan pada Mei lalu susulan kebocoran kertas soalan.
Penganjur protes berpendapat Pradhan perlu mengambil tanggungjawab moral terhadap insiden itu dan berundur daripada jawatannya.
Bagaimanapun, Pradhan menolak desakan tersebut dan menyifatkan CJP serta penyokongnya sebagai kumpulan yang tidak percaya kepada kemajuan negara.
Wangchuk menyertai protes itu pada 29 Jun dan memulakan mogok lapar tanpa had sebagai simbol bantahan secara aman.
Beliau yang mengaku sebagai pengikut falsafah Mahatma Gandhi berkata kaedah mogok lapar digunakan untuk menyedarkan kerajaan agar bertindak terhadap isu yang dibangkitkan.
Wangchuk merupakan antara tokoh paling dikenali dari wilayah Ladakh di Himalaya serta dihormati sebagai pendidik, jurutera dan aktivis perubahan iklim.
Beliau terkenal kerana mencipta 'Ice Stupa', iaitu glasier buatan berbentuk kon yang berfungsi menyimpan air ketika musim sejuk dan melepaskannya semasa musim bunga bagi membantu petani menghadapi kekurangan air.
Sumbangannya dalam bidang pendidikan dan alam sekitar melayakkan beliau menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa, termasuk Anugerah Ramon Magsaysay 2018, yang sering disifatkan sebagai anugerah paling berprestij di Asia.
Wangchuk juga menjadi inspirasi kepada watak utama dalam filem Bollywood popular 'Three Idiots' yang ditayangkan pada 2009.
Menurut Dipke, keadaan kesihatan Wangchuk semakin membimbangkan apabila beliau mengalami pening yang teruk setiap kali cuba berdiri atau duduk.
“Beliau kini sukar berjalan walaupun untuk ke tandas. Doktor telah memberi amaran bahawa beliau tidak sepatutnya meneruskan mogok lapar kerana risiko kesihatannya semakin serius,” katanya.
Walaupun suhu di New Delhi mencecah 38 darjah Celsius, dengan suhu dirasai hampir 46 darjah Celsius, ratusan penyokong terus berkumpul siang dan malam di Jantar Mantar bagi menyatakan solidariti terhadap Wangchuk dan tuntutan gerakan tersebut.
Ramai yang hadir menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan beliau.
Seorang jurutera dari Hyderabad, Animesh Sahu, berkata beliau amat menghormati Wangchuk dan berharap kerajaan memberi perhatian terhadap desakan yang dibawa.
“Kesihatannya amat membimbangkan. Kerajaan perlu mendengar suaranya,” katanya.
Seorang petani, Satyaprakash Bharadwaj, pula menyifatkan Wangchuk sebagai individu yang sanggup berkorban demi masa depan generasi muda India.
“Kami mahu beliau terus hidup dan sihat untuk memperjuangkan nasib anak-anak kami,” katanya.
Sejak mogok lapar bermula, beberapa ahli politik, aktivis dan pempengaruh media sosial telah mengunjungi lokasi protes untuk menyatakan sokongan.
Namun, menurut penganjur, tiada wakil daripada parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) yang hadir atau menunjukkan minat untuk memulakan dialog dengan kumpulan tersebut.
Susulan ketiadaan respons daripada kerajaan, penganjur kini merancang untuk berarak ke bangunan Parlimen India pada 20 Julai, bertepatan dengan pembukaan sesi parlimen baharu.
Mereka berharap tindakan itu dapat meningkatkan tekanan terhadap kerajaan supaya mengambil langkah bagi memperkukuhkan akauntabiliti dalam sistem pendidikan negara.