Aktivis kempen pro-demokrasi Hong Kong yang melancarkan protes terhadap pentadbiran China pada 2014, Joshua Wong, pada Rabu telah dihantar pulang dari Thailand.

Wong, 19, ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok pada Selasa dengan sesetengah laporan menyatakan penahanan itu adalah kerana disenarai hitam oleh China.

Dia dijadual menyampaikan ceramah di dua buah universiti di Bangkok berkenaan ‘demonstrasi payung’ dan juga pembentukan parti politik Demosisto, lapor media tempatan.

Demosisto mengeluarkan kenyataan pada Rabu tengah hari yang mengesahkan bahawa Wong telah dalam penerbangan pulang ke Hong Kong.

Parti tersebut juga berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Thailand atas sekatan tidak berasas terhadap kemasukan Wong.

Kunjungan Wong adalah merupakan pelawaan aktivis pelajar Thailand, Netiwit Chotipatpaisal, kata sumber polis.

Netiwit kemudiannya mengetuai berpuluh-puluh pelajar yang membawa payung bagi menyokong gerakan Wong di Hong Kong, dalam sebuah protes di kampus Bangkok sambil melaungkan: “Joshua Wong mempunyai hak untuk berada di sini.”

Jurucakap kerajaan Thailand, Kolonel Winthai Suvaree memberitahu, beliau tidak menyedari sebarang permintaan rasmi dari Beijing sementara seorang pegawai imigresen lapangan terbang mengesahkan terdapat arahan untuk menahan Wong tetapi menolak untuk mendedahkan siapa yang memberi arahan tersebut.

Wong dianggap sebagai duri dalam daging kepada Beijing semenjak menjadi ketua dalam kempen memprotes dominasi politik China di Hong Kong.

Pada tahun lepas, Wong telah diharamkan daripada memasuki Malaysia dan pihak berkuasa telah menghantar beliau pulang ke Hong Kong dengan alasan bahawa ucapannya mungkin akan merosakkan hubungan baik dengan Beijing.