DUNIA

Aktivis kapal Handala diserang sejurus tiba di penjara Israel - FFC

Bernama 29/07/2025 | 13:09 MYT
Kapal Handala yang dalam pelayaran ke Gaza membawa susu formula bayi, makanan dan ubat-ubatan telah dirampas oleh tentera Israel berhampiran pantai Gaza pada Sabtu malam. - Reuters
ISTANBUL: Seorang aktivis kemanusiaan dari kapal bantuan Handala telah diserang sejurus tiba di sebuah penjara Israel, lapor Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan Freedom Flotilla Coalition (FFC).

Kapal Handala yang dalam pelayaran ke Gaza membawa susu formula bayi, makanan dan ubat-ubatan telah dirampas oleh tentera Israel berhampiran pantai Gaza pada Sabtu malam dengan 21 orang awam tidak bersenjata berada di atas kapal, termasuk ahli parlimen, petugas perubatan dan sukarelawan.

"Apabila beliau tiba di penjara Israel, pembela hak asasi manusia dari Amerika Syarikat, Chris Smalls, telah diserang secara fizikal oleh tujuh individu berpakaian seragam," menurut FFC di platform X.

Chris Smalls ialah seorang penggerak kesatuan sekerja dari New Jersey yang mengasaskan dan mengetuai Amazon Labour Union (ALU).

"Mereka mencekiknya dan menendang kakinya, meninggalkan kesan-kesan keganasan yang jelas kelihatan pada leher dan belakangnya," menurut kenyataan itu.

FFC menegaskan bahawa "ketika peguamnya bertemu dengannya, Chris dikelilingi enam anggota unit khas polis Israel. Tahap kekerasan itu tidak dikenakan terhadap aktivis lain yang turut diculik."

FFC mengecam serangan berkenaan dan berkata: "Kami mengecam keganasan terhadap Chris dan menuntut kebertanggungjawapan terhadap serangan dan layanan diskriminasi yang dihadapinya."

Kapal bantuan itu yang dilancarkan oleh FFC berlayar dari Itali dalam usaha memecah kepungan berbulan-bulan oleh Israel, yang telah menyebabkan 2.4 juta penduduk Gaza berada di ambang kebuluran.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Israel telah memintas beberapa kapal bantuan ke Gaza di perairan antarabangsa.

Pada Jun, tentera Israel merampas kapal Madleen dan menahan 12 aktivis antarabangsa termasuk aktivis alam sekitar Sweden Greta Thunberg dan Ahli Parlimen Eropah dari Perancis, Rima Hassan. Sebulan sebelum itu, kapal MV Conscience diserang menggunakan dron berhampiran Malta.

Israel telah mengenakan sekatan ke atas Gaza sejak 18 tahun lalu dan sejak 2 Mac, menutup semua lintasan sempadan, menyekat kemasukan konvoi bantuan dan mengabaikan gesaan antarabangsa untuk membukanya semula.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 147 orang telah meninggal dunia akibat kebuluran sejak Oktober 2023, termasuk 88 kanak-kanak.

Menolak gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, tentera Israel telah meneruskan serangan kejam ke atas Gaza sejak 7 Okt, 2023, membunuh hampir 60,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

-- BERNAMA

#kapal bantuan #bantuan kemanusiaan #Handala #aktivis #penjara Israel #serangan