[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Aktivis politik, sekutu Trump, Charlie Kirk maut ditembak ketika hadiri acara debat di Utah

Agensi 10/09/2025 | 21:15 MYT
Charlie Kirk disahkan meninggal dunia selepas ditembak ditembak ketika sedang berucap dalam sebuah acara debat di Utah Valley University, pada Rabu. - Gambar fail AP
WASHINGTON: Aktivis politik konservatif Amerika Syarikat (AS), Charlie Kirk disahkan meninggal dunia selepas ditembak ketika menghadiri sebuah acara di Utah, menurut pengumuman Presiden Donald Trump pada Rabu.

Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump menulis: “Seorang tokoh hebat, malah legenda, Charlie Kirk, telah tiada.”

“Tiada siapa yang lebih memahami dan dekat dengan hati generasi muda di Amerika Syarikat selain Charlie. Beliau disayangi dan dikagumi semua orang, termasuk saya.

"Kini, beliau tidak lagi bersama kita. Saya dan Melania merakamkan ucapan takziah kepada isterinya, Erika, serta seluruh keluarga. Charlie, kami menyayangimu,” kata Trump.

Kirk, 30-an, merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama organisasi belia konservatif Turning Point USA.

Terdahulu, beliau dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas ditembak ketika sedang berucap dalam sebuah acara debat di Utah Valley University.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan Kirk ditembak di bahagian leher ketika berucap di bawah khemah acara bertemakan “The American Comeback.”

Kejadian itu mencetuskan panik dalam kalangan penonton yang hadir.

Pihak berkuasa mengesahkan seorang suspek telah ditahan berhubung kejadian berkenaan.

Pertemuan kali terakhir Trump dan Kirk dirakam pada Disember 2024 ketika acara AmericaFest anjuran Turning Point USA di Phoenix, Arizona.

Turning Point USA yang ditubuhkan Kirk pada 2012 di Chicago dikenali sebagai platform politik yang memberi tumpuan kepada belia, khususnya di kampus universiti, bagi mengangkat agenda konservatif termasuk cukai rendah dan kerajaan kecil.

Kirk berjaya membina pengaruh besar dalam kalangan anak muda Republikan melalui gaya retorik lantang dan sering tampil dalam program televisyen arus perdana di Amerika.

Malah, beliau juga rapat dengan keluarga Trump dan sering mendapat tempat dalam acara parti Republikan.

Sepanjang kepimpinannya, Turning Point USA berkembang menjadi salah satu organisasi konservatif paling berpengaruh di Amerika Syarikat, menganjurkan konvensyen berskala besar serta melibatkan tokoh politik utama termasuk Trump sendiri.

Insiden tembakan yang meragut nyawa Kirk berlaku dalam suasana Amerika Syarikat berdepan peningkatan keganasan politik, termasuk beberapa serangan bermotifkan fahaman ideologi sejak tahun lalu.

Setakat ini, White House dan keluarga Kirk belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi lanjut mengenai pemergian beliau. - Agensi




#Charlie Kirk #sekutu Donald Trump #Turning Point USA #Charlie Kirk maut ditembak