Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Aktivis prodemokrasi, bekas Ahli Parlimen Hong Kong terima suaka di Australia dan Britain

Agensi 18/08/2025 | 00:10 MYT
Tony Chung, aktivis yang pernah dipenjara di bawah undang-undang keselamatan negara Hong Kong, mengumumkan beliau kini menerima status pelarian di Britain. - Gambar fail Reuters
HONG KONG: Seorang aktivis prodemokrasi Hong Kong serta bekas Ahli Parlimen yang dikehendaki pihak berkuasa China di bandar itu dilaporkan telah diberikan suaka politik di Australia dan Britain, lebih empat tahun selepas mereka berdepan tuduhan jenayah berkait protes antikerajaan pada 2019.

Tony Chung, aktivis yang pernah dipenjara di bawah undang-undang keselamatan negara Hong Kong, mengumumkan beliau kini menerima status pelarian di Britain.

Sementara itu, Ted Hui, bekas penggubal undang-undang yang berdepan perbicaraan atas peranan dalam demonstrasi besar-besaran turut mengesahkan beliau sekeluarga mendapat visa perlindungan di Australia.

Kedua-duanya termasuk dalam puluhan aktivis yang melarikan diri daripada pihak berkuasa selepas Beijing memperkenalkan undang-undang keselamatan negara pada 2020, yang secara menyeluruh mengkriminalkan suara bantahan.

Hukuman di bawah undang-undang itu boleh mencecah penjara seumur hidup bagi kesalahan seperti mengancam keselamatan negara, pengkhianatan dan pemberontakan.

Hui, yang meninggalkan Hong Kong pada Disember 2020, merupakan antara aktivis luar negara yang menjadi buruan polis dengan tawaran ganjaran sehingga HK$1 juta (AS$127,800).

Kini bekerja sebagai peguam di Adelaide, Hui dikenali dengan tindakan lantangnya termasuk melemparkan tumbuhan reput di Dewan Undangan bagi menghalang perbahasan rang undang-undang yang mahu menjadikan penghinaan lagu kebangsaan China sebagai satu kesalahan.

Beliau kemudian didenda HK$52,000 (AS$6,600) atas perbuatan itu.

Dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu, Hui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Australia kerana memberikan perlindungan kepada keluarganya.

Namun, beliau mengakui hatinya berat menerima hakikat sebagai pelarian politik.

“Apabila orang mengucapkan tahniah, saya hanya mampu berterima kasih dengan sopan, tetapi dalam hati tetap terasa sedih. Bagaimana untuk mengucapkan tahniah kepada seorang pelarian politik yang merindui tanah airnya?” katanya.

Chung pula, yang pernah dipenjara hampir empat tahun atas tuduhan hasutan pemisahan dan pengubahan wang haram pada 2020, menyatakan keterujaan selepas menerima status pelarian serta permit kediaman lima tahun di United Kingdom.

Beliau menegaskan tetap komited meneruskan perjuangan meskipun berdepan cabaran, termasuk masalah kesihatan mental.

Sementara itu, kerajaan Hong Kong dalam kenyataan pada Sabtu mengecam tindakan negara luar memberikan perlindungan kepada aktivis yang mereka anggap sebagai penjenayah.

“Tindakan mana-mana negara yang melindungi penjenayah Hong Kong jelas memperlekehkan undang-undang, tidak menghormati sistem perundangan Hong Kong serta campur tangan secara biadab dalam urusan kami,” kata kenyataan itu. - Agensi




#suaka politik #aktivis prodemokrasi #Tony Chung #Ted Hui