DUNIA
Aktiviti dron di Belgium ancam keselamatan seluruh EU - Suruhanjaya Eropah

Aktiviti dron yang dikesan di kem latihan tentera Belgium itu "sekali lagi menunjukkan bahawa keseluruhan EU berada dalam keadaan berisiko. - Gambar hiasan
BRUSSELS/ISTANBUL: Aktiviti dron yang dikesan di atas sebuah kem latihan tentera di Belgium pada Khamis sekali lagi membuktikan bahawa keseluruhan Kesatuan Eropah (EU) berada dalam keadaan berisiko, menurut Suruhanjaya Eropah, lapor Anadolu Ajansi.
Jurucakap Suruhanjaya, Thomas Regnier memberitahu wartawan pada Jumaat ,pihaknya memantau rapat perkembangan di negara anggota dan turut berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan.
Beliau menegaskan, siasatan insiden serta penentuan punca ancaman adalah tanggungjawab negara anggota masing-masing.
Regnier berkata, aktiviti dron yang dikesan di kem latihan tentera Belgium itu "sekali lagi menunjukkan bahawa keseluruhan EU berada dalam keadaan berisiko," sambil menekankan kepentingan cadangan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen untuk membina "tembok dron" bagi melindungi seluruh EU.Beliau turut menegaskan, keperluan pendekatan "360 darjah," dengan menjelaskan bahawa aktiviti dron pada Khamis itu turut memberi kesan kepada Jerman.
Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya, Paula Pinho berkata, cadangan "tembok dron" itu pada peringkat awal akan memberi tumpuan kepada kawasan timur Eropah.
Katanya, keutamaan akan diberikan kepada negara yang lebih terdedah kepada ancaman, namun visi keseluruhan adalah lebih luas, iaitu meliputi seluruh benua.
Media tempatan melaporkan bahawa pegawai pertahanan Belgium telah melancarkan siasatan selepas 15 dron dikesan di atas pangkalan tentera Elsenborn di East Cantons, berhampiran sempadan Jerman, lewat malam Khamis.
Menurut penyiar Belgium, VRT NWS, pejabat Menteri Pertahanan Theo Francken mengesahkan bahawa kementerian berkenaan telah melancarkan siasatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami