JAKARTA: Kementerian Pengangkutan Indonesia mengesahkan telah menemukan alat perakam suara kokpit (CVR) pesawat Sriwijaya Air yang terhempas di Laut Jawa pada 9 Januari lalu.

Jurucakap Tentera Laut, La Ode Muhamad Holib berkata kotak hitam CVR itu ditemukan pada Rabu, namun tidak mengulas lanjut sama ada ia masih berada dalam keadaan baik.

Difahamkan sidang media akan diadakan bagi memperincikan butiran berhubung penemuan itu dalam masa terdekat.

Terdahulu, penyelam berjaya mengesan isyarat daripada kotak hitam pesawat Boeing 737-500 berusia 26 tahun itu selepas beberapa hari kemalangan berlaku.

Namun pihak berkuasa menghabiskan masa tiga bulan untuk mencari unit memori di perairan yang agak cetek tetapi kadang-kala berlumpur disebabkan arus yang kuat.

Laporan awal oleh penyiasat mengenai kemalangan Sriwijaya menyatakan pesawat mengalami ketidakseimbangan daya tujahan enjin yang membuatkan ia terjunam ke lautan.

Laporan itu merangkumi maklumat daripada satu lagi kotak hitam pesawat iaitu perakam data penerbangan (FDR) yang ditemukan sejurus selepas nahas.

Alat CVR ini dapat membantu penyiasat memahami tindakan yang dilakukan oleh juruterbang.

Nahas pesawat Sriwijaya Air mengorbankan kesemua 62 penumpang dan anak kapalnya.