NEW YORK: Penduduk Wilayah Alberta yang kaya dengan minyak di barat Kanada mengundi pada Isnin dalam satu referendum untuk menentukan sama ada mereka mahu kekal sebagai sebahagian daripada Kanada atau memulakan proses yang membawa kepada referendum kedua mengenai pemisahan, yang keputusannya mengikat di sisi undang-undang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Tinjauan pendapat terkini menunjukkan majoriti besar, iaitu kira-kira 70 peratus, mengundi untuk kekal bersama Kanada manakala kira-kira 20 peratus menyokong pemisahan dan selebihnya belum membuat keputusan.
Premier Alberta Danielle Smith, Perdana Menteri Kanada Mark Carney serta kedua-dua parti politik utama negara itu berulang kali menyuarakan bantahan terhadap pemisahan. Sebaliknya, gerakan kemerdekaan itu mendapat sokongan daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Alberta, sebuah wilayah yang mempunyai kira-kira lima juta penduduk, mempunyai kira-kira 3.1 juta pengundi yang layak, menurut “Elections Alberta”, badan pilihan raya wilayah berkenaan. Pusat mengundi dibuka pada 9 pagi (1500 GMT) dan ditutup pada 6 petang, walaupun pengundian awal secara pos dan bersemuka berlangsung.
Pengundi akan membuat keputusan mengenai 10 soalan secara keseluruhan, dengan soalan mengenai pemisahan dikira terlebih dahulu. Keputusan dijangka dapat diketahui seawal Selasa, menurut pegawai pilihan raya.
Calgary, yang mempunyai kira-kira 1.68 juta penduduk, merupakan bandar terbesar di Alberta, diikuti ibu kota wilayah itu, Edmonton, dengan 1.28 juta penduduk. Wilayah itu juga terkenal dengan taman negara di Banjaran Rocky yang menarik pelancong dari seluruh dunia.
Alberta mempunyai antara pengundi paling konservatif di Kanada, manakala gerakan yang memperjuangkan kemerdekaan atas dasar budaya dan ekonomi wujud selama bertahun-tahun.
Sesetengah wakil industri minyak berpendapat bahawa mereka dibatasi oleh peraturan alam sekitar, manakala ramai penunjuk perasaan yang sebelum ini menentang sekatan COVID-19 dan mandat vaksin kemudiannya menyertai gerakan kemerdekaan itu.
Walaupun gerakan itu sejak sekian lama hanya mendapat sokongan daripada golongan minoriti penduduk Alberta, gerakan itu berjaya meyakinkan Smith, premier konservatif wilayah berkenaan, untuk mengadakan referendum. Smith sendiri secara konsisten menyokong agar Alberta kekal sebagai sebahagian daripada Kanada.
-- BERNAMA-dpa