Skip to main content

Dunia

ALC-27: Malaysia, Brunei capai persefahaman awal selesaikan isu tertangguh 60 tahun

Pingat; PM Anwar, Sultan Brunei
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, pada Sabtu. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei Darussalam mencapai persefahaman awal untuk menyelesaikan perkara tertangguh kira-kira 60 tahun lalu menerusi Mesyuarat Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 (ALC-27) di Bandar Seri Begawan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata persefahaman itu dicapai hasil pertemuan beliau dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, pada Sabtu.

Tambah beliau, antaranya isu pertindihan termasuklah tuntutan sempadan, yang kedua-dua pihak bersetuju supaya isu berkenaan diselesaikan berdasarkan faktor sejarah, undang-undang serta kaedah penentuan sempadan yang dipersetujui.

Menurutnya, kira-kira 50 peratus daripada isu persempadanan darat antara kedua-dua negara telah diselesaikan, manakala baki kawasan masih melibatkan pertindihan tuntutan.

“Kedua-dua pihak mencari kaedah supaya diberikan pengiktirafan kepada hak dan tuntutan Malaysia dan Brunei berdasarkan undang-undang dan juga persempadanan. Saya ingat isu yang terbantut sekian lama itu dapat dileraikan.

“Saya dengan Tuanku Sultan Brunei merasakan sekurang-kurangnya parameter asas itu boleh diselesaikan sebelum akhir tahun,” katanya pada sidang media mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke Brunei pada Sabtu.

Anwar berkata kedua-dua negara pada dasarnya mahu memastikan hak dan kepentingan Malaysia serta Brunei terus dipertahankan berdasarkan asas perundangan dan persempadanan yang sah.

“Dalam kes ini kerana ia melibatkan perbatasan di negeri Sarawak maka faktor ini diambil kira dan pandangan Premier, Tan Sri Abang Johari Tun openg dan kerajaan negeri Sarawak juga akan mempengaruhi keputusan kita dalam menentukan garis muktamad,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia dan Brunei turut bersetuju meningkatkan kerjasama dalam pengurusan sempadan, termasuk aspek imigresen dan kastam bagi memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua negara.

Anwar berkata proses sedia ada dilihat terlalu banyak pemeriksaan dan sekatan di sepanjang laluan antara Brunei dan Malaysia.

“Sekarang banyak lapan 'checkpoint' timbal balik Brunei ke Sarawak, Sabah sebaliknya. Jadi kita mahu kurangkan proses itu supaya lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa teknikal di peringkat agensi pusat, dengan kerjasama Sarawak, akan meneliti langkah mempercepatkan proses berkenaan.

Anwar berkata Malaysia dan Brunei juga membincangkan kerjasama dalam bidang pendidikan, termasuk usaha menyelesaikan isu pengiktirafan ijazah daripada Universiti Brunei Darussalam.
 

Must Watch Video

Advertisement