DUNIA

Algeria bakal batal perjanjian perkhidmatan udara dengan UAE

Bernama 08/02/2026 | 21:15 MYT
Pihak berkuasa Algeria memaklumkan pada Sabtu bahawa mereka telah memulakan prosedur yang diperlukan untuk membatalkan perjanjian perkhidmatan udara dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
ALGIERS (Algeria): Pihak berkuasa Algeria memaklumkan pada Sabtu bahawa mereka telah memulakan prosedur yang diperlukan untuk membatalkan perjanjian perkhidmatan udara dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor Anadolu Ajansi.

Agensi berita rasmi APS melaporkan, Algeria akan memaklumkan pembatalan itu kepada UAE "melalui saluran diplomatik", selaras dengan Artikel 22 perjanjian itu, selain turut memaklumkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Menurut laporan itu, perjanjian berkenaan ditandatangani di Abu Dhabi pada 13 Mei 2013, dan disahkan di bawah Dekri Presiden yang dikeluarkan pada 30 Dis 2014.

Tiada butiran terperinci diberikan mengenai punca tindakan Algeria itu.

Setakat tengah hari Ahad, masih tiada sebarang ulasan daripada pihak UAE berhubung perkara itu.

Perjanjian berkenaan menetapkan hak pihak berkuasa penerbangan kedua-dua pihak untuk melantik satu atau lebih syarikat penerbangan bagi mengendalikan laluan yang dipersetujui, dengan kemungkinan untuk menarik balik, mengubah suai atau menggantikan pelantikan itu mengikut budi bicara pihak berkuasa kompeten masing-masing.

Ia juga memberi hak kepada pihak berkuasa penerbangan setiap pihak yang berkontrak untuk membatalkan, menggantung atau mengehadkan lesen operasi syarikat penerbangan yang dilantik sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang dan peraturan yang terpakai, atau kegagalan untuk mematuhi syarat-syarat perjanjian.

Perjanjian itu membenarkan pelantikan jumlah syarikat penerbangan nasional yang tidak terhad dari kedua-dua negara untuk mengendalikan penerbangan tetap tanpa sekatan, pada sebarang kapasiti, menggunakan pelbagai jenis pesawat sama ada milik sendiri atau dipajak, serta dengan jumlah penerbangan yang tidak terhad.

-- BERNAMA



#Algeria #UAE #perjanjian perkhidmatan udara #saluran diplomatik