[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
DUNIA

Amaran banjir kilat dikeluarkan selepas tebatan banjir pecah di negeri Washington

Astro Awani 16/12/2025 | 01:40 MYT
Pasukan penyelamat memeriksa rekahan pada tebatan banjir di sepanjang Sungai Green di Tukwila, Washington. - Foto AP
TUKWILA: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran banjir kilat dan arahan pemindahan segera selepas sebuah tebatan banjir pecah di sepanjang Sungai Green di Tukwila, kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar Seattle, pada Isnin.

Kejadian berlaku susulan hujan lebat berterusan akibat fenomena “sungai atmosfera” yang melanda wilayah barat laut Pasifik sejak beberapa hari lalu.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), kegagalan struktur di Tebatan Banjir Desimone menyebabkan air sungai melimpah dan mengancam kawasan berpenduduk padat di daerah King.

Lebih 46,000 penduduk, termasuk dua buah sekolah dan sebuah hospital, terjejas akibat banjir kilat yang disifatkan sebagai “mengancam nyawa.”

Kawasan Orillia di Tukwila, serta sebahagian Renton dan Kent, kini berada di bawah arahan pemindahan “GO NOW” yang memerlukan penduduk berpindah serta-merta ke kawasan lebih tinggi.

“Jika anda berada di kawasan ini, sila tinggalkan segera. Keadaan sangat berbahaya dan laluan keluar mungkin terputus pada bila-bila masa,” kata NWS dalam satu kenyataan di media sosial.

Pasukan kecemasan telah dikerahkan untuk memperkukuh kawasan tebatan banjir yang pecah menggunakan beg pasir, manakala kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan.

Kejadian ini berlaku hanya beberapa hari selepas banjir besar melanda negeri itu, memaksa pengisytiharan darurat oleh pihak berkuasa negeri.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa lebih banyak hujan dijangka turun dalam minggu ini, meningkatkan risiko banjir susulan di kawasan terjejas.






#amaran banjit #tebatan banjir pecah #hujan lebat #air sungai melimpah