Amaran Donald Trump: AS akan campur tangan jika Iran bunuh penunjuk perasaan

Jika Iran melepaskan tembakan dan membunuh penunjuk perasaan aman secara ganas, seperti kebiasaan mereka, Amerika Syarikat akan tampil membantu,” kata Presiden Trump. - Gambar Reuters
PARIS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran bahawa Washington bersedia bertindak sekiranya Iran menggunakan kekerasan sehingga mengorbankan penunjuk perasaan.
Amaran itu susulan demonstrasi berkaitan kos sara hidup di Iran yang dilaporkan bertukar ganas pada Khamis, dengan sekurang-kurangnya enam kematian direkodkan.
Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump menegaskan AS tidak akan berdiam diri jika penunjuk perasaan aman menjadi mangsa keganasan.
“Jika Iran melepaskan tembakan dan membunuh penunjuk perasaan aman secara ganas, seperti kebiasaan mereka, Amerika Syarikat akan tampil membantu,” katanya.
Gerakan protes bermula apabila peniaga di Tehran melancarkan mogok pada Ahad ekoran kenaikan harga barangan dan ketidaktentuan ekonomi.
Mogok itu kemudian berkembang menjadi protes politik yang merebak ke beberapa kawasan lain.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menyifatkan kenyataan Trump sebagai tidak bertanggungjawab dan berbahaya, sambil menegaskan tentera Iran bersiap sedia jika berlaku campur tangan luar.
Ketua Majlis Keselamatan Tertinggi Iran, Ali Larijani, turut memberi amaran bahawa campur tangan AS boleh menggugat kestabilan rantau.
Penasihat Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Shamkhani menegaskan, sebarang campur tangan akan menerima tindak balas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


