Skip to main content

Dunia

Amaran gelombang haba dipertingkat di seluruh Korea Selatan

seoul, resident -- AP
Nasihat dikeluarkan apabila suhu ketara maksimum dijangka mencecah 33 darjah Celsius atau lebih untuk sekurang-kurangnya dua hari berturut-turut. - Reuters
Advertisement

SEOUL: Korea Selatan menaikkan tahap amaran gelombang haba daripada nasihat kepada amaran yang lebih serius berikutan cuaca panas melampau dijangka melanda kebanyakan kawasan di negara itu mulai hujung minggu ini, menurut Kementerian Dalam Negeri pada Jumaat.

Menurut Agensi Berita Yonhap, nasihat haba yang sebelum ini dikeluarkan di 116 daripada 235 zon di negara itu dinaikkan kepada amaran setakat 3 petang, menurut kementerian itu.

Nasihat dikeluarkan apabila suhu ketara maksimum dijangka mencecah 33 darjah Celsius atau lebih untuk sekurang-kurangnya dua hari berturut-turut, manakala amaran pula dikeluarkan apabila suhu diramalkan mencecah 35 darjah Celsius.

Cuaca panas itu menyusul selepas hujan monsun membadai kawasan tengah dan beberapa bahagian lain negara itu sejak Rabu, menyebabkan seorang individu dilaporkan hilang dan memaksa 758 penduduk dipindahkan di seluruh negara.

Kementerian itu akan mempertingkat pemantauan terhadap warga emas, petani dan pekerja luar berikutan tahap kelembapan yang tinggi selepas hujan lebat meningkatkan risiko penyakit berkaitan haba.

Kementerian turut memaklumkan bahawa rangkaian keselamatan di peringkat tempatan, termasuk ketua kampung dan petugas penjagaan, akan digerakkan sepenuhnya bagi menjalankan pemeriksaan berkala terhadap golongan yang mudah terjejas.

-- BERNAMA-YONHAP

 

Must Watch Video

Advertisement