DUNIA
Amaran Hamas kepada Zionis: "Nyawa dua tawanan Israel dalam bahaya”
Penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal melarikan diri dari utara Gaza, bergerak ke selatan, selepas tentera Israel mengarahkan mereka berpindah, di tengah Semenanjung Gaza, 28 Sept 2025. - Gambar Reuters
GAZA: Hamas mengeluarkan amaran keras berhubung nyawa dua tawanan Israel berada dalam bahaya ekoran operasi darat dan serangan berterusan rejim Zionis di beberapa kawasan kejiranan Gaza City.
Briged al-Qassam, sayap bersenjata Hamas dalam kenyataannya pada Ahad memaklumkan, pihaknya kehilangan hubungan dengan pejuang yang menjaga Omri Miran dan Matan Angrest selepas serangan hebat tentera Israel di Sabra dan Tal al-Hawa dalam tempoh 48 jam lalu.
“Nyawa dua tawanan itu kini benar-benar terancam. Tentera penjajah mesti segera berundur ke selatan Jalan 8 dan menghentikan serangan udara selama 24 jam bermula jam 6 petang ini, bagi memberi laluan usaha menyelamatkan mereka,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Hamas pernah menyiarkan gambar ‘perpisahan’ tawanan sebagai usaha menghalang tentera Israel daripada terus memusnahkan Gaza City dan memaksa ratusan ribu rakyat Palestin yang kelaparan untuk berpindah sekali lagi.
Israel mendakwa, masih terdapat 48 tawanan di Gaza dengan hanya 20 yang disahkan hidup.
Namun, desakan keluarga dan penyokong supaya kerajaan menamatkan perang serta membawa pulang semua tawanan terus tidak diendahkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan kabinet haluan kanan pimpinannya.
Sayap politik Hamas pula menjelaskan, pihaknya belum menerima sebarang cadangan baharu gencatan senjata daripada perantara Qatar dan Mesir, walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berulang kali meramalkan perjanjian bakal dimuktamadkan.
Menurut Hamas, rundingan masih tergantung selepas cubaan Israel membunuh pemimpin tertinggi pergerakan itu di Doha pada 9 September lalu ketika mereka meneliti cadangan gencatan senjata baharu daripada Trump.
Sebaliknya, beberapa menteri kanan Israel terus menolak sebarang perjanjian damai.
Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir menegaskan, Netanyahu tidak mempunyai mandat menamatkan perang tanpa “kemenangan mutlak” ke atas Hamas.
Manakala Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, sekali lagi menolak penubuhan negara Palestin.
Sejak perang meletus pada Oktober 2023, lebih 66,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh di Gaza.
Pada Ahad, puluhan lagi terkorban akibat serangan udara dan bedilan meriam, termasuk seorang kanak-kanak di Sabra, selain seorang bayi meninggal dunia di Hospital Nasser, Khan Younis, akibat kekurangan zat makanan dan rawatan perubatan.
Dalam masa sama, kereta kebal Israel dilaporkan semakin hampir ke Hospital al-Shifa di Gaza City yang kini hampir musnah selepas beberapa kali dikepung sebelum ini.
Pengarah hospital, Muhammad Abu Salmiya menegaskan, pasukannya akan terus berusaha mengekalkan operasi bagi merawat pesakit dan melindungi penduduk yang berlindung di sana. - Agensi
Dapatkan berita terkini di sini