Amaran serangan udara di seluruh Ukraine menjelang sidang kemuncak EU di Kiev

Bernama
Februari 3, 2023 12:31 MYT
Amaran serangan udara dikeluarkan di seluruh negara pada pagi Jumaat menjelang pertemuan antara Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dan para pegawai kanan Kesatuan Eropah (EU) di Kiev, Ukraine. - Foto EPA/Sinar Harian
BRUSSELS: Amaran serangan udara dikeluarkan di seluruh negara pada pagi Jumaat menjelang pertemuan antara Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dan para pegawai kanan Kesatuan Eropah (EU) di Kiev, Ukraine.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada amaran udara itu akan memberi kesan kepada pertemuan itu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Amaran itu dikeluarkan susulan kehadiran jet pejuang Rusia di ruang udara negara jiran Belarus, menurut maklumat dari Kiev.
Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen, Presiden Majlis Eropah Charles Michel dan diplomat tertinggi EU Josep Borrell dijangka menghadiri sidang kemuncak itu.
"Kami tidak akan berputus asa dengan keazaman kami," menurut ciapan Presiden Majlis Eropah Charles Michel sebelum ini di Twitter, merujuk kepada sokongan EU terhadap Ukraine sejak operasi ketenteraan Rusia hampir setahun lalu.
-- BERNAMA
#Amaran serangan udara #Kiev #jet pejuang Rusia #sidang kemuncak EU