Amaran tsunami di Semenanjung Alaska ditarik balik

Astro Awani
Julai 16, 2023 09:53 MYT
Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan berkata, ketinggian maksimum ombak yang dicerap di King Cove dan Sand Point ialah setengah kaki. -USGS
JUNEAU: Amaran tsunami yang dikeluarkan lewat Sabtu susulan gempa bumi kuat di Semenanjung Alaska telah ditarik balik.
Gempa bumi kuat berukuran 7.3 magnitud itu melanda kira-kira 60 batu di selatan Sand Point pada jam 10.48 malam Sabtu dan diikuti beberapa gegaran susulan, menurut Pusat Gempa Alaska.
Ia mencetuskan amaran tsunami di Semenanjung Alaska dan Pulau Kodiak.
Siren dibunyikan di kawasan kediaman dengan pegawai penguat kuasa menggesa penduduk mencari tempat yang lebih tinggi.
Status amaran tsunami kemudiannya diturunkan kepada nasihat dan kemudiannya dibatalkan pada jam 1 pagi Ahad.
Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan berkata, ketinggian maksimum ombak yang dicerap di King Cove dan Sand Point ialah setengah kaki.
Ia berkata beberapa kawasan mungkin akan melihat perubahan paras laut yang kecil.
#gempa bumi #tsunami #Semenanjung Alaska #Pulau Kodiak