Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
DUNIA

Amaran tsunami dikeluarkan semula selepas gempa bumi bermagnitud 6.8 landa Davao Oriental, Filipina

Bernama 10/10/2025 | 15:38 MYT
Amaran tsunami dikeluarkan pada Jumaat malam selepas satu lagi gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda Davao Oriental. - Foto REUTERS
MANILA: Amaran tsunami dikeluarkan pada Jumaat malam selepas satu lagi gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda Davao Oriental, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).


Ringkasan AI
  • Gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda Davao Oriental pada malam Jumaat, menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan oleh Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs).
  • Tsunami dijangka menghasilkan ombak melebihi satu meter yang boleh mengancam nyawa, dan penduduk di kawasan pantai seperti Surigao Del Sur dan Davao Oriental diarahkan berpindah ke kawasan tinggi.
  • Gempa ini berlaku selepas gegaran magnitud 7.4 pada pagi hari sama, dengan gegaran sederhana turut dirasai di beberapa bandar di Mindanao.


Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) memaklumkan yang gempa bumi itu berlaku pada 7.12 malam pada kedalaman 10 kilometer, berpusat di Manay, Davao Oriental.

"Berdasarkan pangkalan data senario tsunami tempatan, dijangka berlaku ombak dengan ketinggian lebih satu meter melebihi paras air pasang biasa dan mungkin lebih tinggi di teluk dan selat tertutup," katanya.

"Tsunami berbahaya dijangka berlaku dengan ketinggian ombak yang mengancam nyawa," menurut kenyataan itu.

Gelombang tsunami diramalkan antara 7.12 malam dan 9.12 malam dan boleh berterusan selama beberapa jam.

Penduduk di kawasan pantai Surigao Del Sur, Davao Oriental dan Surigao Del Norte dinasihatkan agar segera berpindah ke kawasan lebih tinggi atau bergerak jauh ke pedalaman.

Pemilik bot di pelabuhan, muara sungai atau perairan cetek di wilayah itu juga diminta untuk memastikan keselamatan bot mereka dan menjauhi kawasan tepi air.

Bot yang sudah berada di laut ketika itu dinasihatkan untuk kekal berada di perairan dalam sehingga arahan selanjutnya diberikan.

Gempa bumi 6.8 magnitud ini berlaku selepas gempa bumi luar pesisir magnitud 7.4 yang melanda pada 9.43 pagi hari sama.

Gegaran Intensiti IV (sederhana kuat) dirasai di Davao City, Bislig City, Surigao del Sur, Magpet, Cotabato, Digos City, Davao del Sur, Sta. Maria, Davao Occidental, Nabunturan, Davao de Oro, Gingoog City, Misamis Oriental, Malungon dan Alabel, Sarangani, Tupi, South Cotabato dan Hinunangan, Southern Leyte.

--BERNAMA-PNA




#gempa bumi #amaran tsunami #Davao Oriental #Filipina