KABUL: Ribuan penduduk terjejas akibat gempa bumi kuat yang menggegarkan timur Afghanistan Rabu lepas kini memerlukan bekalan air bersih dan makanan.

Pegawai Kementerian Kesihatan berkata, perkembangan terbaharu itu menyusul beberapa hari selepas agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai wabak taun di wilayah itu.

Gempa bumi pada Rabu lepas mengakibatkan sekurang-kurangnya 1,000 orang terbunuh, 2,000 cedera dan 10,000 rumah musnah.

Pada masa sama, Pejabat PBB Untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran penularan taun adalah kebimbangan serius dan perlu diberi perhatian khusus.

Menteri Kesihatan Afghanistan, Sharafat Zaman berkata, keadaan itu mengakibatkan majoriti orang ramai memerlukan makanan dan air bersih.

Pihaknya sudah mendapatkan ubat-ubatan tetapi berdepan cabaran untuk menghantarnya kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Justeru beliau memohon bantuan daripada komuniti antarabangsa dan organisasi kemanusiaan dari segi makanan serta ubat-ubatan kerana mangsa terselamat mungkin berisiko dijangkiti penyakit memandangkan  tidak mempunyai rumah atau tempat berlindung yang sesuai untuk didiami.

Bencana pada Rabu itu adalah ujian terbesar terhadap pentadbiran Taliban yang dijauhi oleh banyak kerajaan luar susulan kebimbangan mengenai hak asasi manusia, sejak ia menguasai pentadbiran kerajaan tahun lalu.

Usaha membantu ribuan rakyat Afghanistan juga menjadi satu cabaran buat beberapa negara yang mengenakan sekatan terhadap badan mahupun bank kerajaan Afghanistan, termasuk menghentikan penyaluran bantuan terus, sekali gus mendorong tercetusnya krisis kemanusiaan sebelum gempa bumi lagi.

Pemerintah Taliban menggesa supaya sekatan dikenakan terhadap negaranya ditarik balik dan tindakan membekukan berbilion dolar dalam aset bank pusat, yang disimpan dalam institusi kewangan barat.

Di Kabul, banyak hospital yang digunakan untuk merawat mangsa perang membuka wad rawatan bagi mangsa gempa bumi.

Di sebalik tragedi itu, majoriti penduduk masih kekal di kawasan yang musnah akibat gempa bumi.