Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Amazon hilang kawasan lebih besar daripada Sepanyol dalam 40 tahun

Bernama 14/08/2025 | 11:34 MYT
Secara keseluruhan di seluruh Brazil, kehilangan kawasan semula jadi sepanjang empat dekad lalu mencecah 111.7 juta hektar. - Reuters
RIO DE JANEIRO: Kira-kira 52 juta hektar kawasan semula jadi musnah di wilayah Amazon, Brazil sejak 1985, bersamaan dengan keluasan yang lebih besar daripada Sepanyol, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Secara keseluruhan di seluruh Brazil, kehilangan kawasan semula jadi sepanjang empat dekad lalu mencecah 111.7 juta hektar iaitu lebih tiga kali ganda saiz Jerman - menurut laporan inisiatif MapBiomas yang dikeluarkan pada Rabu.

Rangkaian MapBiomas terdiri daripada universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat teknologi yang meneliti terutamanya imej satelit.

Menjelang 1985, Brazil menukar 60 peratus tanah yang kini digunakan untuk pertanian, perlombongan, bandar dan infrastruktur sejak hampir lima abad lalu.

"Baki 40 peratus penukaran tanah ini berlaku hanya dalam tempoh empat dekad, dari 1985 hingga 2024," kata Tasso Azevedo, penyelaras MapBiomas.

Tempoh penebangan hutan paling ketara berlaku antara 1995 hingga 2004. Namun dalam dekad terakhir, trend ini "kembali meningkat akibat kemerosotan alam sekitar, kesan iklim dan peluasan sektor pertanian," menurut Julia Shimbo, penyelaras saintifik MapBiomas.

Secara keseluruhan, menurut laporan itu, kawasan semula jadi di Brazil merosot daripada 80 peratus pada 1985 kepada hanya 65 peratus pada 2024.

Di Pantanal, kawasan tanah lembap terbesar di dunia, kitaran banjir berkurangan setiap dekad, dengan kemuncaknya pada 2024 sebagai tahun paling kering dalam tempoh 40 tahun.

Tahun lalu, permukaan air di kawasan itu adalah 73 peratus di bawah purata antara 1985 hingga 2024. Kelembapan yang semakin berkurangan turut menyumbang kepada kebakaran hutan yang dahsyat.

Di Cerrado, iaitu kawasan savana lembap di tenggara Brazil, kira-kira 40 juta hektar vegetasi semula jadi dimusnahkan sepanjang empat dekad ini atau bersamaan dengan pengurangan sebanyak 28 peratus.

-- BERNAMA


#hutan hujan #Amazon #kehilangan kawasan #Brazil #kemerosotan hutan