DUNIA

Amerika akan tentukan syarikat minyak yang boleh beroperasi di Venezuela - Donald Trump

Agensi 09/01/2026 | 22:30 MYT
Presiden Trump (tengah) berkata, mesyuarat bersama eksekutif tenaga utama AS pada Jumaat memberi tumpuan kepada minyak Venezuela, keselamatan dan hubungan jangka panjang antara kedua-dua negara. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan rancangan besar untuk mengurus semula industri minyak Venezuela melalui kerjasama dengan syarikat minyak gergasi AS, dalam usaha menurunkan harga bahan api domestik dan mengukuhkan pengaruh ekonomi negara itu.

Trump berkata, mesyuarat bersama eksekutif tenaga utama AS pada Jumaat memberi tumpuan kepada minyak Venezuela, keselamatan dan hubungan jangka panjang antara kedua-dua negara.

“Mesyuarat hari ini (Jumaat) hampir sepenuhnya akan membincangkan minyak Venezuela, hubungan jangka panjang kami dengan negara itu, keselamatan dan rakyatnya. Faktor besar dalam penglibatan ini adalah pengurangan harga minyak untuk rakyat Amerika,” katanya menerusi hantaran di Truth Social.

Antara yang hadir termasuk eksekutif daripada Chevron, Exxon Mobil, ConocoPhillips serta beberapa firma perdagangan minyak global.

Pertemuan ini dilihat sebagai langkah awal untuk memulihkan pengeluaran minyak Venezuela yang terjejas akibat sekatan dan krisis politik.

Berurusan terus dengan AS, bukan Venezuela

Trump menegaskan bahawa syarikat minyak kini akan berurusan secara langsung dengan Washington, bukan dengan kerajaan Venezuela.

“Anda berurusan terus dengan kami. Anda langsung tidak berurusan dengan Venezuela,” katanya, sambil menjelaskan bahawa sebelum ini syarikat minyak tidak mempunyai jaminan keselamatan untuk beroperasi di negara Amerika Latin itu.

Beliau turut menambah, AS akan menentukan syarikat mana yang dibenarkan masuk ke Venezuela bagi menjalankan operasi pengeluaran minyak.

30 juta tong minyak menuju ke AS

Dalam perkembangan berkaitan, Trump memaklumkan, sebanyak 30 juta tong minyak dari Venezuela bernilai AS$4 bilion sedang dalam perjalanan ke AS.

Sebahagian daripada hasil jualan minyak itu akan diagihkan kepada AS, Venezuela dan syarikat minyak yang terlibat.

Trump berkata, perbincangan bersama eksekutif tenaga turut menyentuh bagaimana minyak Venezuela dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Pelaburan besar syarikat minyak AS

Trump turut mengumumkan rancangan untuk syarikat minyak gergasi AS melabur sekurang-kurangnya AS$100 bilion daripada dana mereka sendiri, bukan wang kerajaan, bagi membina semula kapasiti pengeluaran dan infrastruktur minyak di Venezuela.

Projek ini merangkumi pembinaan saluran paip, pelantar penggerudian, infrastruktur pelabuhan serta sistem elektrik yang stabil – dengan kos dianggarkan melebihi AS$10 bilion setahun dan mengambil masa lebih sedekad untuk pulang modal.

Selain itu, Venezuela bersetuju membenarkan AS memulakan proses penapisan dan penjualan 50 juta tong minyak negara itu secara berterusan.

“Kami mempunyai kapasiti penapisan,” kata Trump.

Langkah strategik elak pengaruh pesaing

Trump turut menegaskan, tindakan AS mengurus ekonomi minyak Venezuela adalah langkah strategik bagi mengelak kuasa pesaing seperti China dan Rusia mengambil alih.

“Jika kita tidak lakukan ini, China atau Rusia pasti akan melakukannya,” katanya, sambil menambah bahawa AS kini “bersedia untuk berniaga” dan mengalu-alukan Rusia serta China untuk membeli minyak daripada syarikat AS. - Agensi




#minyak Venezuela #Amerika Syarikat #Donald Trump #Amerika serang Venezuela