Amerika Syarikat jamin Piala Dunia FIFA 2026 'selamat dan mesra'

Presiden Donald Trump mendengar taklimat Andrew Giuliani semasa mesyuarat Pasukan Petugas Piala Dunia FIFA 2026 di White House. - Foto AP
WASHINGTON: Ketua Pasukan Petugas Piala Dunia FIFA 2026 White House pada Rabu berkata pentadbiran Trump sedang merangka langkah keselamatan dan hospitaliti yang menyeluruh bagi memastikan kejohanan itu berlangsung dalam suasana selamat dan mesra.
Andrew Giuliani berkata kepada pemberita di Pusat Media Asing Jabatan Negara bahawa aspek keselamatan dan perlindungan menjadi teras persiapan, lapor Anadolu Ajansi.
"Kami akan melakukan segala yang termampu untuk menjadikan kejohanan ini sebuah Piala Dunia yang selamat dan berjaya ... Keselamatan dan layanan mesra boleh dan akan wujud bersama. Piala Dunia ini akan menjadi bukti terbaik," katanya.
Ditanya mengenai kebimbangan terhadap keselamatan warga asing yang akan melancong ke AS untuk Piala Dunia, termasuk kes seorang pemohon suaka yang ditahan ejen ICE di New Jersey pada Jun lalu, Giuliani menjelaskan individu berkenaan "melanggar sekatan penerbangan sementara dengan menggunakan peranti dron anti-UAS (pesawat tanpa pemandu)".
"Tiada toleransi terhadap individu yang menerbangkan dron di sekitar stadium sepanjang kejohanan," tegasnya.
Menjawab soalan Anadolu mengenai usaha mengurangkan tempoh menunggu visa di Turkiye, Giuliani berkata tempoh menunggu dipendekkan dari 16 bulan kepada hanya dua bulan hasil penambahan kakitangan.
"Mereka akan mempunyai sistem penjadualan janji temu keutamaan FIFA (PASS) untuk pemegang tiket. Sebelum sebarang tiket dijual, kami mahu memastikan seramai mungkin orang mempunyai laluan sah untuk datang melawat Amerika Syarikat," katanya.
Beliau mengesahkan pemegang tiket FIFA akan mendapat akses kepada PASS bermula awal 2026.
"Pemegang tiket ... akan diberi keutamaan bagi memastikan mereka dapat janji temu visa," katanya.
Beliau juga berkata bahawa matlamatnya adalah untuk menyediakan laluan sah kepada seramai mungkin pelawat ke Amerika Syarikat.
Apabila ditanya sama ada pentadbiran itu menolak kemungkinan serbuan ICE semasa perlawanan Piala Dunia, Giuliani berkata perbincangan mengenai hal itu sedang berlangsung dan Presiden Donald Trump tidak menolak apa-apa yang dapat membantu meningkatkan keselamatan rakyat AS.
Piala Dunia tahun depan akan dianjurkan bersama oleh AS, Kanada dan Mexico.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


