Amerika Syarikat (AS) meluahkan "kekecewaan" terhadap keputusan kerajaan Turki untuk menukar kembali status bangunan Hagia Sophia kepada masjid.

Kuasa besar dunia itu turut menggesa agar negara Islam itu memberi akses yang sama kepada semua pengunjung, lapor AFP.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Morgan Ortagus berkata, pihaknya berharap untuk mendengar rancangan Turki bagi memastikan bangunan ikonik itu kekal diakses tanpa sebarang halangan.

Sebelum ini, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memaklumkan perkara itu selepas mahkamah tinggi negara itu memutuskan tindakan kerajaan terdahulu mengubah status Hagia Sophia menjadi muzium sebagai tidak sah.

BACA: Hagia Sophia: Presiden Turki minta semua hormati keputusan mahkamah

Hagia Sophia dibina empayar Rom Timur sebagai gereja besar pada abad keenam Masihi sebelum diubah menjadi masjid oleh kerajaan Uthmaniyah pada 1453.

Statusnya sekali lagi bertukar apabila kerajaan sekular Tukri menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium pada 1934.