DUNIA

Amerika Syarikat terajui G20, tekankan agenda pertumbuhan ekonomi

Bernama 02/12/2025 | 02:05 MYT
Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald Trump akan mengembalikan G20 kepada misi terasnya iaitu memacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran untuk menghasilkan keputusan.
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengambil alih jawatan presiden Kumpulan 20 (G20) bagi 2026, sambil berikrar memacu semula tumpuan kepada agenda pertumbuhan ekonomi dan "menghasilkan keputusan," menurut Jabatan Negara AS, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Di bawah kepimpinan Presiden Trump, kami akan mengembalikan G20 kepada misi terasnya iaitu memacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran untuk menghasilkan keputusan.

"Kami akan memberi keutamaan kepada tiga teras utama dalam usaha melaksanakan pembaharuan yang amat diperlukan ini: memacu kemakmuran ekonomi dengan mengurangkan beban kawal selia, memperkukuh rantaian bekalan tenaga yang mampu milik dan selamat, serta menerajui teknologi dan inovasi baharu," menurut kenyataan agensi itu.

Washington akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin G20 2026 di Miami, Florida, yang bertepatan dengan ulang tahun ke-250 AS.

-- BERNAMA






#Amerika Syarikat #G20 #Sidang Kemuncak Pemimpin G20 #Donald Trump