DUNIA
AMNC25: Graham Allison beri amaran mengenai hakisan kawalan senjata nuklear
Profesor Harvard mengupas kejayaan rapuh usaha bukan pemencaran senjata nuklear dalam dunia di mana 90 negara berpotensi memiliki senjata nuklear. - Astro AWANI/Najib Aroff
TIANJIN: Dalam sesi perbincangan di World Economic Forum, Annual Meeting of the New Champions (AMNC) di Tianjin, pakar geopolitik terkenal dan Profesor Harvard, Graham Allison memberi amaran keras mengenai hakisan asas kawalan senjata nuklear global.
Dalam sesi bertajuk "Geopolitik: Sebuah Kisah yang Sedang Terbentang", Allison mengimbau semula tempoh lapan dekad selepas pengeboman Hiroshima dan Nagasaki, satu era yang menurutnya menyaksikan kejayaan luar biasa, meskipun "tidak semula jadi”, kejayaan mengekang penyebaran senjata nuklear secara meluas.
“Jika kita melihat apa yang berlaku sepanjang 80 tahun sejak Hiroshima dan Nagasaki, salah satu pencapaian paling luar biasa dalam seni kepimpinan antarabangsa ialah hakikat hanya sembilan negara yang memiliki senjata nuklear hari ini,” kata Allison.
Beliau mengetengahkan paradoks kawalan dalam era di mana teknologi nuklear bukan sahaja sudah lama wujud, tetapi semakin mudah dibangunkan.
“Jika Korea Utara mampu membangunkan senjata nuklear, secara jujurnya, siapa yang tidak mampu?” soalnya secara retorik.
Allison menjelaskan bahawa lebih 90 negara sebenarnya mampu membangunkan arsenal nuklear dalam tempoh setahun jika mereka mahu.
Namun, kebanyakan negara memilih untuk tidak berbuat demikian bukan kerana kekangan teknologi, tetapi hasil daripada sistem norma, perjanjian dan dasar penangkisan yang telah lama dibin, namun rapuh.
“Ia bukan sesuatu yang semula jadi. Mengapa Korea Selatan, Iran atau Ukraine tidak memiliki arsenal nuklear untuk mempertahankan diri? Jawapannya terletak pada kerjasama antarabangsa yang telah dibina selama beberapa dekad termasuk usaha Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), jaminan penangkisan lanjutan, dan keseluruhan kerangka perjanjian bukan pemencaran,” jelas beliau.
Allison turut mengingatkan bahawa kebimbangan terhadap senario dunia dengan 90 negara bersenjata nuklear pernah menghantui Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy selepas Krisis Peluru Berpandu Cuba pada tahun 1962. Krisis itu kemudiannya mencetuskan pelbagai inisiatif kawalan senjata yang berjaya menstabilkan keselamatan global selama berdekad-dekad.
Namun kini, menurut Allison, kestabilan tersebut sedang terhakis secara perlahan-lahan.
“Kita mula mengambil ringan semua ini, seolah-olah bukan pemencaran boleh bertahan sendiri. Realitinya tidak. Ia sedang terurai secara senyap di pinggiran,” tambah beliau.
Kenyataan Allison menjadi peringatan penting bahawa cabaran geopolitik masa kini — dari kebangkitan nasionalisme, perpecahan sistem pelbagai hala, hingga kepada perlumbaan senjata serantau, bukan sekadar isu ekonomi atau diplomatik, tetapi menyentuh kelangsungan tamadun itu sendiri.
Ketika ketegangan memuncak di kawasan panas seperti Semenanjung Korea dan Timur Tengah, mesej Allison jelas: kawalan nuklear pasca-perang yang selama ini menjadi benteng keselamatan dunia mungkin tidak akan kekal selamanya.