Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Amnesty International tegaskan Israel laksana dasar kebuluran "sengaja" di Gaza

Bernama 19/08/2025 | 07:42 MYT
Amnesty International berkata, kebuluran paksa adalah sebahagian daripada genosid yang sedang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza. - Gambar/ AP
LONDON: Amnesty International pada Isnin menegaskan rejim Zionis Israel melaksanakan dasar kebuluran yang "disengajakan" di Gaza, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).


Ringkasan AI
  • Amnesty International mendakwa Israel melaksanakan dasar kebuluran secara disengajakan di Gaza, yang menyebabkan kemusnahan kesihatan dan kehidupan sosial rakyat Palestin.
  • Laporan berdasarkan testimoni mangsa dan petugas kesihatan menunjukkan Gaza berada di ambang kebuluran akibat sekatan sistematik dan tindakan ketenteraan Israel.
  • Amnesty menyifatkan tindakan tersebut sebagai sebahagian daripada genosid terhadap rakyat Palestin dan menyeru tindakan segera oleh komuniti antarabangsa.


Pertubuhan itu memberi amaran, dalam satu laporan yang disediakan untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, bahawa Semenanjung Gaza berada di ambang kebuluran.

Selepas menemu bual 19 rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan dua kakitangan perubatan yang merawat kanak-kanak kekurangan zat makanan, pertubuhan itu menyatakan bahawa "Israel sedang melaksanakan kempen kebuluran yang disengajakan di Semenanjung Gaza yang diduduki, memusnahkan secara sistematik kesihatan, kesejahteraan dan struktur sosial kehidupan rakyat Palestin."

Pertubuhan itu menjelaskan bahawa testimoni yang dikumpulnya mengesahkan bahawa hasil daripada rancangan dan dasar disengajakan yang direka serta dilaksanakan Israel sepanjang 22 bulan lalu, penduduk Palestin di Gaza dipaksa hidup dalam keadaan yang dikira membawa kepada kemusnahan fizikal mereka.

Ia menambah bahawa ini adalah sebahagian daripada genosid yang sedang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

-- BERNAMA



#Amnesty International #Genosid Gaza #kebuluran paksa #kekejaman israel