DUNIA

Amnesty Perancis gesa perlindungan segera untuk flotila Gaza yang disasar dron

Bernama 24/09/2025 | 23:40 MYT
Sebuah bot yang menyertai Global Sumud Flotilla berlepas dari Pelabuhan Bizerte menuju ke Gaza. - Foto REUTERS
BRUSSELS: Amnesty Antarabangsa Perancis menggesa pada Rabu agar negara-negara segera melindungi flotila bantuan kemanusiaan Gaza selepas konvoi itu diserang dron pada waktu malam di perairan Greece, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Flotila Sumud Global yang berusaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza diserang dron malam tadi di perairan Greece, menurut Amnesty Perancis dalam satu hantaran di X.

"Negara-negara mesti melindungi mereka yang berada di atas kapal! Mereka kini memainkan peranan penting dalam menghadapi sikap tidak bertindak negara-negara dengan cuba mengambil langkah menentang genosid yang sedang berlaku," kata pertubuhan hak asasi itu.

Amnesty Perancis menyifatkan insiden dron itu sebagai "ancaman yang tidak boleh diterima," sambil menegaskan bahawa inisiatif kemanusiaan itu adalah "sepenuhnya sah di sisi undang-undang antarabangsa."

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

"Perlindungan mereka adalah perlu dan mendesak!" menurut kenyataan itu lagi.

Flotila berkenaan berlayar awal bulan ini dengan matlamat memecahkan sekatan Israel serta menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan, ke Gaza di mana 2.4 juta penduduk Palestin hidup dalam kepungan sejak 18 tahun lepas.

-- BERNAMA




#Gaza #bantuan kemanusiaan #Global Sumud Flotilla #dron