Anak kesayangan diseksa, dirogol sebelum dibunuh ibu tiri

Azyyati Ahmad
September 5, 2018 09:56 MYT
Mangsa dipercayai diseksa, dirogol sebelum dibunuh ahli keluarganya sendiri dalam kejadian jenayah yang disifatkan paling dahsyat dan mengejutkan di negara itu. -Gambar hiasan
Polis India menahan seorang wanita dan empat individu lain selepas penemuan mayat seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dalam keadaan yang mengerikan pada Selasa.
Mangsa dipercayai diseksa, dirogol sebelum dibunuh ahli keluarganya sendiri dalam kejadian jenayah yang disifatkan paling dahsyat dan mengejutkan di negara itu.
Mayat kanak-kanak itu dijumpai disembunyikan di kawasan semak kira-kira satu kilometer dari rumahnya di daerah Baramulla, Kashmir, lapor AFP.
Menurut polis, mangsa dipercayai diperlakukan secara kejam oleh ibu tirinya sendiri atas alasan cemburu.
Terdahulu, mangsa didapati hilang sebelum ayah kandungnya membuat laporan polis.
Mayat mangsa yang mereput hanya ditemukan 12 hari kemudian.
Menurut laporan polis, wanita berusia 36 tahun itu membawa gadis malang berkenaan ke kawasan hutan 24 Ogos lalu.
Wanita itu kemudian didakwa mengarahkan anak kandungnya yang berusia 14 tahun dan dua sahabat remaja itu yang berusia 14 dan 19 tahun untuk bergilir-gilir merogol anak tirinya.
Wanita itu kemudian mencekik anak tirinya sebelum kepala mangsa dihentak dengan kapak.
Mayat mangsa kemudian disimbah dengan asid bateri kereta manakala matanya pula dikorek.
Susulan penemuan mayat itu, ibu tiri dan suspek yang terlibat telah ditahan untuk membantu siasatan.
Ketika disoal siasat, ibu tiri mangsa mendakwa suaminya terlalu melebih-lebihkan keluarga madunya, terutama sekali mangsa yang merupakan anak kesayangan.
#bunuh #India #jenayah #Kanak-kanak #polis #undang-undang