[TERKINI] SARA RM100 untuk Warganegara 18 Tahun ke Atas: Tebus Guna MyKad – Baca Panduan Penuh Di Sini
DUNIA

Anak maut ditembak bapa sendiri pada majlis hari jadi

Astro Awani 23/07/2025 | 04:40 MYT
Mangsa ditembak dua kali di bahagian dada, di hadapan isterinya, dua anak mereka, dan beberapa rakan. -Gambar hiasan
INCHEON: Majlis sambutan ulang tahun yang sepatutnya menjadi detik istimewa sebuah keluarga di Korea Selatan bertukar tragedi apabila seorang anak lelaki berusia 30-an maut ditembak oleh bapanya menggunakan senapang buatan sendiri.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki berusia 30-an maut ditembak oleh bapanya menggunakan senapang buatan sendiri semasa majlis ulang tahun yang dianjurkan oleh mangsa sendiri di Incheon, Korea Selatan.
  • Suspek melarikan diri ke Seoul dan ditahan bersama senapang serta bahan letupan; pihak berkuasa turut menemui pelbagai peranti letupan dan senjata buatan sendiri di kediaman dan kenderaan suspek.
  • Polis sedang menyiasat motif kejadian dan bagaimana suspek mampu menghasilkan senjata serta bahan letupan dalam jumlah besar, walaupun jiran menyatakan suspek sebelum ini dikenali sebagai peramah.


Lebih menyedihkan apabila majlis pada jam 9.31 malam Ahad di sebuah pangsapuri di Incheon, Korea Selatan, itu dianjurkan mangsa buat ayahnya.

Menurut laporan Yonhap dan Korea JoongAng Daily, mangsa ditembak dua kali di bahagian dada, di hadapan isterinya, dua anak mereka, dan beberapa rakan.

Mangsa dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Suspek berusia 63 tahun melarikan diri namun berjaya diberkas kira-kira jam 12.20 pagi Isnin, di Gangnam, Seoul.

Ketika ditahan, dia masih membawa senapang buatan sendiri berbentuk paip yang dipenuhi peluru jenis buckshot.

Suspek turut memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai kehadiran bahan letupan di kediamannya di Daerah Dobong, utara Seoul.

Polis segera memindahkan 105 penduduk dari bangunan tersebut, sebelum pasukan khas berjaya menyahaktifkan sebuah bom buatan sendiri yang dijadual meletup pada tengah hari Isnin.

Pemeriksaan lanjut menemui 14 peranti letupan tambahan, sembilan senjata buatan sendiri di dalam kenderaan suspek dan lima batang paip logam di kediamannya.

Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan bagaimana suspek mampu menghasilkan senjata serta bahan letupan dalam jumlah besar.

Jiran mangsa memaklumkan bahawa pertengkaran antara bapa dan anak itu sering berlaku, meskipun suspek sebelum ini dikenali sebagai individu yang peramah.










#Korea Selatan #maut ditembak bapa sendiri #senapang buatan sendiri #Incheon Korea Selatan