TRIPOLI: Seif al-Islam al-Gaddafi yang merupakan anak kepada bekas pemimpin Libya digulingkan, Muammar Gaddafi pada Ahad mendaftarkan pencalonannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Presiden yang bakal menyaksikan pusingan pertama diadakan pada 24 Disember depan.

"Beliau sudah mengemukakan permohonan kepada pejabat Suruhanjaya Tinggi Plihan Raya Kebangsaan di bandar Sebha," kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan tersebut, Seif, 49, mematuhi segala syarat yang ditetapkan malah beliau juga sudah diberikan kad pendaftaran pengundi untuk daerah tersebut.

Pencalonan itu sekali gus menamatkan spekulasi yang tersebar sejak beberapa bulan lalu berhubung kemungkinan beliau akan bertanding walaupun dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan jenayah kemanusiaan ketika gelombang Arab Spring melanda Tripoli pada 2011.

Pada Julai lalu, Seif membuat kemunculan semula malah beliau memberitahu The New York Times tentang hasratnya kembali semula ke dalam dunia politik.

Menerusi wawancara itu, beliau menyuarakan rancangannya untuk memulihkan perpaduan selepas sedekad negara itu dilanda kucar-kacir dan ketidakstabilan politik.

Sejak Jun 2014, Seif tidak pernah tampil di khalayak umum dan hanya muncul menerusi sidang video dari Zintan ketika perbicaraannya di sebuah mahkamah di Tripoli.

Kira-kira empat tahun kemudian, beliau dijatuhi hukuman mati atas jenayah yang dilakukannya ketika negara itu turut berdepan tempias revolusi kebangkitan rakyat yang melanda beberapa negara di Asia Barat.

Pentadbir di timur negara itu bagaimanapun memberikan pengampunan kepadanya, namun keputusan itu tidak pernah diiktiraf pihak berkuasa di Tripoli.

Difahamkan, pendaftaran untuk calon Presiden dan Pilihan Raya Parlimen akan mula dibuka pada Isnin.

Pada mulanya, pemilihan tersebut dijadualkan pada 24 Disember, namun Parlimen memutuskan untuk menangguhkan Pilihan Raya Parlimen pada Januari 2022.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.