[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
DUNIA

Anak pengarah Hollywood Rob Reiner ditahan atas tuduhan membunuh ibu bapa

Astro Awani 15/12/2025 | 23:10 MYT
Seorang pengawal keselamatan berkawal di luar kediaman Rob Reiner di kawasan Brentwood, Los Angeles. - Foto AP
LOS ANGELES: Nick Reiner, anak kepada pengarah tersohor Hollywood Rob Reiner dan isterinya Michele Singer Reiner, telah ditahan pihak berkuasa Los Angeles atas tuduhan membunuh kedua-dua ibu bapanya di kediaman keluarga mereka di Brentwood, California.

Menurut kenyataan Jabatan Polis Los Angeles (LAPD), mayat Rob dan Michele ditemui pada petang Ahad dengan kesan tikaman berulang kali.

Penemuan itu dibuat oleh anak perempuan pasangan tersebut, Romy Reiner, yang segera menghubungi pihak berkuasa.

Nick Reiner, 32, seorang penulis skrip dan anak tengah pasangan Reiner, ditahan sekitar jam 9.15 malam dan didakwa atas tuduhan membunuh.

Beliau kini ditahan tanpa jaminan sementara siasatan lanjut dijalankan.

Ketua Polis LAPD, Jim McDonnell, mengesahkan bahawa kes ini diklasifikasikan sebagai siasatan pembunuhan dan dikendalikan oleh Bahagian Ragut dan Pembunuhan.

“Kami sedang menyusun garis masa kejadian dan meneliti bukti forensik dari lokasi,” katanya dalam sidang media.

Nick sebelum ini dikenali kerana perjuangannya melawan ketagihan dadah, yang turut menjadi inspirasi kepada filem “Being Charlie” arahan bapanya pada 2015.

Filem itu menggambarkan hubungan tegang antara seorang remaja dan bapanya dalam konteks pemulihan ketagihan.

Motif pembunuhan masih belum didedahkan, namun pihak berkuasa mengesahkan bahawa waran geledah telah dikeluarkan dan beberapa ahli keluarga sedang disoal siasat.

Jaminan ditetapkan pada AS$4 juta (kira-kira RM16.37 juta).
Rob Reiner, 78, terkenal dengan filem klasik seperti When Harry Met Sally, A Few Good Men, dan The Princess Bride.

Beliau juga merupakan aktivis politik yang lantang dan tokoh berpengaruh dalam industri hiburan Amerika Syarikat.






#Rob Reiner #Michele Singer Reiner #Nick Reiner #tuduhan membunuh