DUNIA
Anak Putera Mahkota Norway disyaki terlibat kes rogol
Hoiby, yang tidak memegang sebarang gelaran diraja atau menjalankan tugas rasmi kerabat mula disiasat sejak penahanannya pada 4 Ogos 2024 atas dakwaan mencederakan individu. - Foto AP
OSLO: Anak lelaki kepada Puteri Mahkota Norway disyaki terlibat dalam tiga kes rogol serta 23 kesalahan lain, menurut pihak polis pada Jumaat.
Ringkasan AI
- Marius Borg Hoiby disiasat atas dakwaan tiga kes rogol dan 23 kesalahan lain, termasuk berkelakuan lucah dan mencederakan individu.
- Siasatan polis Oslo berlangsung selama 10 bulan melibatkan saksi, serbuan dan semakan bahan digital, kini diserahkan kepada pendakwa raya.
- Hoiby nafi kebanyakan tuduhan dan beri kerjasama penuh; pihak Istana Diraja Norway tidak beri komen sementara kes berjalan.
Marius Borg Hoiby, 28, yang juga anak tiri kepada bakal Raja Norway, telah ditahan sebanyak tiga kali tahun lalu iaitu pada Ogos, September dan November.
Menurut peguam polis, Andreas Kruszewski, siasatan terhadap Høiby telah dijalankan selama 10 bulan dan kini diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya sama ada pertuduhan akan dikenakan atau sebaliknya.
Peguam Hoiby, Petar Sekulic dalam kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan, anak guamnya mengambil serius segala tuduhan berkenaan, namun menafikan sebarang salah laku dalam kebanyakan kes terutama yang melibatkan dakwaan penderaan seksual dan keganasan.
Hoiby, yang tidak memegang sebarang gelaran diraja atau menjalankan tugas rasmi kerabat mula disiasat sejak penahanannya pada 4 Ogos 2024 atas dakwaan mencederakan individu.
Dalam kenyataan rasmi, Polis Daerah Oslo memaklumkan telah menjalankan siasatan menyeluruh termasuk menemu bual ramai saksi, menjalankan beberapa siri serbuan serta menyemak bahan digital dalam jumlah yang besar.
Sepanjang musim luruh 2024 dan musim bunga 2025, Hoiby telah beberapa kali dipanggil untuk memberikan keterangan dan menurut polis, beliau memberikan kerjasama penuh.
Antara kesalahan lain yang disyaki termasuk empat pertuduhan berkelakuan lucah, satu kes penderaan dalam hubungan rapat dan dua kes menyebabkan kecederaan tubuh badan.
Polis turut mengesahkan, terdapat beberapa kes berkaitan jenayah seksual yang digugurkan kerana faktor had masa siasatan serta kekangan bukti.
“Saya tidak boleh memberikan butiran lanjut mengenai jumlah mangsa, namun saya boleh sahkan ia melibatkan angka dua digit,” kata Kruszewski.
Dalam pada itu, Istana Diraja Norway dalam kenyataan ringkas memaklumkan, kes berkenaan sedang berjalan melalui sistem perundangan dan mereka tidak mempunyai sebarang komen lanjut buat masa ini. - Agensi