DUNIA
[ANALISIS] Model Ekonomi Datuk Bandar China: Blueprint Transformasi PBT daripada pentadbir kepada pemangkin ekonomi
![[ANALISIS] Model Ekonomi Datuk Bandar China: Blueprint Transformasi PBT daripada pentadbir kepada pemangkin ekonomi [ANALISIS] Model Ekonomi Datuk Bandar China: Blueprint Transformasi PBT daripada pentadbir kepada pemangkin ekonomi](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/41749706423_tbChinaNationalfla.jpg)
Model 'Ekonomi Datuk Bandar' yang diamalkan di China disifatkan sebagai salah satu enjin utama di sebalik kejayaan ekonomi pesat negara itu selama beberapa dekad. - Gambar hiasan
DALAM struktur pentadbiran Malaysia, pihak berkuasa tempatan (PBT) sering digambarkan sebagai "tier ketiga" kerajaan, beroperasi di bawah naungan eksklusif kerajaan negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, realiti autonomi mereka amat terbatas. Kuasa utama PBT tertumpu kepada fungsi pentadbiran harian seperti mengutip cukai taksiran (cukai pintu, cukai iklan), menguatkuasakan undang-undang kecil, mengeluarkan lesen perniagaan dan merancang guna tanah setempat.
Ringkasan AI
- Kuasa PBT Terhad, Perlu Diperluas: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Malaysia kini hanya bertindak sebagai pelaksana dasar negeri/persekutuan dengan kuasa terhad dan kekangan kewangan, menyebabkan mereka tidak mampu memacu ekonomi tempatan secara proaktif.
- Model "Ekonomi Datuk Bandar" China Sebagai Inspirasi: Di China, kerajaan tempatan diberi kuasa, sumber dan sasaran pertumbuhan ekonomi yang jelas, menjadikan datuk bandar lebih aktif menarik pelaburan serta membangunkan ekonomi tempatan satu model yang boleh disesuaikan di Malaysia.
- Desentralisasi Boleh Lonjakkan Pembangunan Tempatan: Memberi autonomi dan insentif kepada PBT boleh galakkan inovasi, tingkatkan kebertanggungjawaban pemimpin tempatan, kurangkan ketidakseimbangan wilayah, dan wujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif di bandar-bandar luar Lembah Klang.
Kekangan fiskal ini, jelas Profesor Yeah Kim Leng dari Sunway University, secara efektif menjadikan PBT sebagai pelaksana dasar negeri dan persekutuan, bukannya perancang atau pemacu ekonomi tempatan yang proaktif. Lebih ramai pembuat dasar yang menentukan hala tuju ekonomi sesebuah bandar atau daerah berada di peringkat negeri (Exco) atau persekutuan (kementerian), mencipta jurang antara keperluan spesifik tempatan dan pelaksanaan dasar.
Profesor Woo Wing Thye, seorang ahli ekonomi antarabangsa yang banyak mengkaji Malaysia, menegaskan bahawa dasar yang terlalu tertumpu kepada sentralisasi telah mengekang inovasi tempatan. Seruannya agar kerajaan negeri dilengkapi kuasa untuk melepaskan tenaga ekonomi di peringkat tempatan dan keperluan memperkasa peringkat pentadbiran yang lebih dekat dengan rakyat, iaitu melalui PBT.
Kuasa, Insentif dan Prestasi Ekonomi
Di sinilah model "Ekonomi Datuk Bandar" (Mayor Economy) yang diamalkan di China menarik perhatian sebagai rujukan potensi. Model ini telah disifatkan sebagai salah satu enjin utama di sebalik kejayaan ekonomi pesat China selama beberapa dekad. Dr Keyu Jin, seorang profesor ekonomi di London School of Economics (LSE), pakar dalam makroekonomi antarabangsa dan ekonomi China, berkata di bawah intipati model ini, kerajaan tempatan (bandar dan daerah) diberikan autonomi mencukupi, akses kepada sumber ekonomi yang besar dan yang paling penting, sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang jelas serta boleh diukur.
Sistem ini menggabungkan paradigma yang kelihatan bercanggah - sentralisasi politik dari Beijing tetapi desentralisasi ekonomi yang ketara di peringkat tempatan. Kerajaan pusat menetapkan sasaran KDNK nasional dan wilayah yang mana sasaran ini diagihkan secara berperingkat kepada datuk bandar dan ketua daerah. Kejayaan mereka dalam mencapai atau melebihi sasaran pertumbuhan tempatan bukan sekadar memenuhi KPI pentadbiran malah ia menjadi laluan langsung kepada kenaikan pangkat politik.
Insentif ini menjadikan datuk bandar di China sangat proaktif dan kompetitif dalam menarik pelaburan. Seperti yang dijelaskan oleh Jin, kerajaan tempatan akan berusaha sedaya upaya untuk membantu syarikat, terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi. Mereka menghapuskan birokrasi, menawarkan pembiayaan mudah melalui dana kerajaan tempatan atau pautan dengan bank dan menyediakan tanah pada kadar diskaun yang ketara. Mereka juga aktif membina ekosistem inovasi yang lengkap.
Kunshan, sebuah bandar satelit berhampiran Shanghai, menjadi contoh yang boleh diikuti. Ketua perbandarannya memfokuskan tawaran istimewa kepada pelabur Taiwan, menyediakan infrastruktur sokongan penuh, dasar mesra perniagaan dan pusat perlesenan sebagai satu pintu yang cekap. Hasilnya, ribuan syarikat baharu dari Taiwan berpindah atau ditubuhkan di Kunshan, menjadikannya hab pembuatan elektronik global.
Shenzhen pula bertransformasi daripada perkampungan nelayan kecil menjadi pusat teknologi gergasi dunia dengan pendekatan serupa yang dipacu oleh datuk bandarnya. Seperti yang dilaporkan Gulf News, insentif pegawai tempatan (di China) selari dengan sektor swasta apabila perniagaan berkembang, hasil cukai meningkat, nilai tanah melonjak dan ini memberi manfaat fiskal yang besar kepada kerajaan tempatan serta kejayaan politik kepada pemimpinnya.
Pendekatan "Ekonomi Datuk Bandar" ini menawarkan perspektif segar untuk menambah baik sistem di Malaysia. Bayangkan sekiranya PBT di Malaysia diberikan bukan sekadar kuasa pentadbiran, tetapi juga autonomi kewangan yang lebih bermakna (contohnya, bahagian hasil cukai yang lebih besar seperti cukai tanda, cukai hiburan atau perkongsian hasil pembangunan tanah) dan kuasa untuk merangka serta melaksanakan dasar ekonomi tempatan.
Setiap bandar utama Malaysia mempunyai keunikan dan kelebihan kompetitif tersendiri yang boleh dimaksimumkan dengan pendekatan "CEO Tempatan" ini. Antara contoh yang boleh kita ambil adalah Georgetown, Pulau Pinang. Dengan statusnya sebagai Warisan Dunia UNESCO dan asas pelancongan kukuh, ia boleh membina kluster industri budaya kreatif dan teknologi e-sukan dan memanfaatkan taman teknologi yang sedia ada.
Selain itu, Kuching, Sarawak juga berpotensi menjadi peneraju kluster teknologi hijau (green tech) dan bioteknologi berdasarkan kekuatan ekopelancongan dan sumber hutan yang mampan. Seterusnya, Johor Bahru, Johor, berpotensi menjadi bandar dan hab pembuatan berteknologi tinggi dan logistik bersepadu, memanfaatkan lokasinya yang dekat dengan Singapura dan projek besar seperti SIJORI (Singapore-Johor-Riau Growth Triangle), manakala Subang Jaya, Selangor, sesuai diangkat sebagai hab pendidikan tinggi berkualiti dan teknologi digital, menyokong ekosistem start-up dan perusahaan teknologi tempatan di sekitarnya.
Langkah awal ke arah ini sudah kelihatan. Contohnya, penubuhan Unit Pelaburan PBT di Selangor yang ditugaskan mempromosikan PBT atau daerah sebagai destinasi pelaburan dan memudahkan proses kelulusan untuk pelabur merupakan titik permulaan yang baik. Namun, untuk benar-benar melonjakkan impak, PBT memerlukan alat fiskal yang lebih berkesan. Ini termasuk bahagian hasil yang lebih besar, perkongsian hasil cukai atau pembangunan yang lebih adil antara PBT, negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Selain itu, insentif fiskal tempatan yang menawarkan pengecualian cukai taksiran sementara atau diskaun untuk syarikat dalam zon industri atau sektor sasaran tertentu, perlu dilaksanakan. Pelaburan dalam infrastruktur pintar dan peruntukan khas atau mekanisme pembiayaan inovatif untuk membangunkan prasarana digital dan fizikal yang menyokong kluster industri pilihan, perlu juga diperkenalkan. Dengan kuasa dan insentif ini, PBT boleh merangka dasar ekonomi tempatan (polisi kluster) yang lebih tersasar, mempromosikan keunikan bandar mereka dan bersaing secara sihat untuk menarik pelaburan berkualiti.
Desentralisasi sebagai Pemangkin Keseimbangan dan Inovasi
Pandangan untuk memperkasa peringkat tempatan ini mendapat sokongan tokoh ekonomi. Prof Woo Wing Thye menegaskan bahawa desentralisasi kuasa ekonomi bukan sahaja meningkatkan daya saing, malah membantu merapatkan jurang kemiskinan dan ketidaksamaan wilayah. Kuasa autonomi 13 negeri dalam memulakan pembangunan ekonomi tempatan, katanya, boleh melonjakkan pertumbuhan sambil memastikan manfaatnya dirasai secara lebih saksama di seluruh negara.” Beliau percaya pendekatan "bottom-up" ini lebih efektif menangani keperluan spesifik setempat berbanding dasar "one-size-fits-all" dari peringkat pusat.
Manakala, Jin pula menekankan aspek inovasi melalui eksperimen yang dibolehkan oleh model desentralisasi China. Kebolehan bandar-bandar untuk mencuba dasar yang berbeza, jelasnya, mewujudkan makmal semula jadi untuk inovasi. Kejayaan di satu tempat boleh menjadi teladan untuk tempat lain, manakala kegagalan terhad dan tidak membebankan seluruh sistem.
Model "Ekonomi Datuk Bandar" yang diilhamkan dari China, jika disesuaikan dengan konteks Malaysia, menjanjikan manfaat berganda. Antaranya, pemacu pelaburan dan inovasi tempatan. PBT yang berperanan sebagai ketua pegawai eksekutif akan lebih agresif dan kreatif menarik pelaburan, membina ekosistem khusus dan menyokong perniagaan. Hasilnya, pemacuan KDNK tempatan.
Apabila kejayaan pemimpin tempatan diukur melalui prestasi ekonomi dan kesejahteraan bandarnya (bukan sekadar kepatuhan arahan pusat), akauntabiliti terhadap penduduk tempatan meningkat. Masalah setempat seperti kesesakan trafik, kekurangan perumahan mampu milik atau kekurangan kemudahan pendidikan dan kesihatan mendapat perhatian lebih segera kerana penyelesaian masalah isu-isu pasti dapat menyumbang kepada daya tarikan dan produktiviti bandar.
Persaingan antara bandar untuk menarik pelabur dan mencapai sasaran pertumbuhan boleh mendorong inovasi pentadbiran dan perkhidmatan. Akhir sekali, pengagihan pembangunan yang lebih saksama. Memperkasa bandar kedua (secondary cities) seperti Kuching, Ipoh atau Kota Kinabalu sebagai enjin pertumbuhan negeri boleh mengimbangi tumpuan berlebihan di Lembah Klang, mengurangkan migrasi desa-bandar tidak terkawal dan merangsang pembangunan wilayah.
Cabaran PBT di Malaysia hari ini yang merangkumi isu seperti kekangan fiskal, autonomi terhad dan peranan ekonomi pasif mencerminkan model pentadbiran tempatan yang belum menepati potensi sepenuhnya.
Model "Ekonomi Datuk Bandar" China, walaupun perlu disesuaikan dengan realiti demokrasi berparlimen dan sistem federal di Malaysia, menawarkan prinsip penting iaitu memberi kuasa, sumber dan insentif yang jelas kepada pemimpin tempatan untuk memacu ekonomi bandar mereka.
Dengan memperkasakan PBT sebagai ketua pegawai eksekutif, ekonomi bandar yang sebenar dapat melengkapi autonomi fiskal sederhana manakala kuasa melaksanakan dasar ekonomi tempatan dan insentif berasaskan prestasi dapat dijalankan.
Bandar-bandar seperti Georgetown, Kuching, Johor Bahru dan Subang Jaya berpotensi menjadi kuda tunggangan baharu pertumbuhan ekonomi negeri dan negara. Seperti kata Jin, penyelarasan insentif antara kerajaan tempatan dan sektor swasta mampu membesarkan pai ekonomi bandar secara signifikan.
Sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan untuk membuka kunci potensi besar yang terpendam di peringkat akar umbi ini dan menjadikan desentralisasi ekonomi bukan sekadar retorik tetapi realiti pemacu kemakmuran inklusif.
* Penulis ialah Penganalisis Penyelidikan (Pelatih) Ekonomi, Institut Masa Depan Malaysia (MASA)
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami