DUNIA

Ancaman bom palsu paksa pesawat buat pendaratan cemas di India

Bernama 02/12/2025 | 12:53 MYT
Penerbangan itu diubah haluan ketika berada di udara selepas pegawai menerima e-mel amaran mengenai "bom manusia" di dalam pesawat. - Gambar fail/Reuters
NEW DELHI: Sebuah penerbangan IndiGo dari Kuwait ke Hyderabad, India, pada Selasa terpaksa membuat pendaratan cemas di lapangan terbang Mumbai, pusat kewangan negara itu, selepas pihak berkuasa menerima ancaman bom, lapor Xinhua.

Ancaman itu bagaimanapun didapati palsu, kata pegawai.

Penerbangan itu diubah haluan ketika berada di udara selepas pegawai menerima e-mel amaran mengenai "bom manusia" di dalam pesawat.

Sebaik mendarat di Mumbai, pesawat berkenaan dibawa terus ke ruang pengasingan di lapangan terbang. Namun, ancaman itu disahkan palsu apabila tiada apa-apa mencurigakan ditemui.

Data rasmi menunjukkan bahawa dari 1 Jan 2024 hingga 14 Nov 2024, jumlah panggilan ancaman bom palsu yang diterima syarikat penerbangan dan lapangan terbang di negara itu mencecah 999.

Pada Jun tahun lalu, badan keselamatan penerbangan awam India mencadangkan larangan terbang selama lima tahun terhadap individu yang mengeluarkan ancaman sedemikian.

-- BERNAMA

#ancaman bom palsu #Indigo #pendaratan cemas #keselamatan #India