[TERKINI] SARA RM100 untuk Warganegara 18 Tahun ke Atas: Tebus Guna MyKad – Baca Panduan Penuh Di Sini
DUNIA

Anggota LDP desak PM Ishiba letak jawatan susulan kekalahan pilihan raya

Bernama 22/07/2025 | 21:40 MYT
Ishiba mengakui, bertanggungjawab atas kekalahan teruk pemerintah dalam pilihan raya, namun, mahu kekal memegang jawatan bagi menghormati mandat rakyat yang masih memberikan LDP kedudukan sebagai parti terbesar dalam Parlimen. - Gambar Reuters
TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba pada Selasa berdepan tekanan yang semakin meningkat daripada dalam Parti Liberal Demokratik (LDP) supaya meletak jawatan dan bertanggungjawab atas kekalahan teruk gabungan pemerintah dalam pilihan raya Dewan Kaunselor, lapor Agensi Berita Kyodo.

Ishiba menyatakan hasrat untuk terus memegang jawatan bagi menangani apa yang disifatkannya sebagai "krisis nasional" dan mengelakkan kebuntuan politik.

Namun kedudukannya kini goyah susulan kehilangan kawalan gabungan pemerintah terhadap kedua-dua dewan parlimen.

Ahli Dewan Kaunselor LDP, Hiroshi Yamada menulis di media sosial bahawa "Perdana Menteri seharusnya bertanggungjawab atas kekalahan teruk ini."

Ahli Dewan Perwakilan LDP, Eikei Suzuki turut menggesa Ishiba di platform X agar "segera membuat keputusan," sambil menambah, "saya tidak dapat menafikan bahawa beliau memandang ringan keputusan pilihan raya ini."

LDP dan rakan gabungannya, Parti Komeito, gagal mencapai sasaran untuk mengekalkan majoriti dalam Dewan Kaunselor yang mempunyai 248 kerusi, dengan hanya menguasai gabungan 122 kerusi - tiga kerusi kurang daripada majoriti.

Dalam sidang media sebagai Presiden LDP pada Isnin, Ishiba berkata, beliau memikul "tanggungjawab besar" atas kekalahan itu.

Namun beliau menegaskan perlu kekal memegang jawatan bagi menghormati mandat rakyat yang masih memberikan LDP kedudukan sebagai parti terbesar dalam Parlimen.

Beliau turut merujuk rundingan yang sedang berlangsung dengan Amerika Syarikat berhubung tarif lebih tinggi yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump sebagai alasan untuk tidak berundur.

Walaupun Ishiba berhasrat untuk terus berkhidmat, masih wujud ketidaktentuan sama ada beliau boleh terus memimpin LDP yang sedang bergelut, dengan kemarahan awam semakin memuncak terhadap cara pentadbirannya menangani isu inflasi.

LDP dijangka mengadakan mesyuarat bersama anggota dari kedua-dua dewan parlimen pada 31 Julai untuk menganalisis keputusan pilihan raya dan membincangkan sama ada sokongan terhadap Ishiba perlu diteruskan.

Ketua Pilihan Raya LDP, Seiji Kihara berkata dalam satu program televisyen pada Isnin, beliau akan membuat keputusan mengenai kedudukannya "pada masa yang sesuai" selepas menilai keputusan pilihan raya Dewan Kaunselor.

Buat masa ini, Ishiba memutuskan untuk mengekalkan barisan kepimpinan parti sedia ada, namun tidak menolak kemungkinan rombakan, khususnya menjelang tamat penggal jawatan mereka pada September.

Bekas Menteri Luar Taro Kono - tokoh lantang dalam LDP yang pernah mencabar Ishiba dalam pemilihan kepimpinan tahun lalu - sekali lagi menggesa Setiausaha Agung LDP, Hiroshi Moriyama untuk meletak jawatan.

"Jika Perdana Menteri mahu kekal demi rundingan tarif, maka Setiausaha Agung Moriyama wajar meletakkan jawatan sebagai pertanggungjawaban terhadap keputusan pilihan raya ini," kata Kono dalam satu program televisyen pada Selasa.

-- BERNAMA


#Jepun #Shigeru Ishiba #Parti Liberal Demokratik #LDP Jepun #letak jawatan