Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Anggota tentera Syria terbunuh dalam serangan dron Israel

Astro Awani 27/08/2025 | 01:30 MYT
Kementerian Luar Syria mengecam serangan terbaru itu sebagai ancaman langsung terhadap keamanan dan kestabilan serantau. - Foto X/OSINTdefender
DAMSYIK: Enam anggota tentera Syria terbunuh dalam serangan dron oleh Israel di kawasan pinggir bandar Damsyik, menurut laporan stesen televisyen milik kerajaan, El Ekhbariya, awal pagi Rabu.


Ringkasan AI
  • Enam anggota tentera Syria terbunuh dalam serangan dron Israel di pinggir Damsyik; sasaran dipercayai kedudukan tentera berhampiran al-Kiswah.
  • Serangan berlaku ketika rundingan Syria-Israel sedang diselaraskan oleh AS; tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Israel setakat ini.
  • Syria kecam insiden sebagai ancaman terhadap kestabilan serantau; beberapa negara Arab dan Islam turut suarakan kebimbangan terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa.


Serangan dilaporkan menyasarkan kedudukan tentera Syria berhampiran bandar al-Kiswah, selatan ibu negara.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak tentera Israel berhubung insiden tersebut.

Serangan ini berlaku ketika Syria dan Israel sedang terlibat dalam rundingan yang diselaraskan oleh Amerika Syarikat bagi meredakan ketegangan di selatan Syria.

Kementerian Luar Syria sebelum ini menuduh Israel menceroboh wilayahnya berhampiran Gunung Hermon dengan menghantar 60 anggota tentera, satu tindakan yang disifatkan sebagai pelanggaran kedaulatan negara.

Israel telah melancarkan ratusan serangan ke atas sasaran ketenteraan di Syria sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember lalu, dengan alasan mempertahankan keselamatan negara dan melindungi komuniti Druze di selatan Syria.

Kementerian Luar Syria mengecam serangan terbaru itu sebagai ancaman langsung terhadap keamanan dan kestabilan serantau.

Beberapa negara Arab dan Islam turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Israel yang disifatkan sebagai melanggar undang-undang antarabangsa dan perjanjian pemisahan tentera 1974.





#Israel #tentera syria #serangan dron #Druze