[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Anggota tetap Majlis Keselamatan PBB 'bantai' Israel dalam mesyuarat

Astro Awani 19/09/2025 | 00:15 MYT
Daripada 15 anggota, hanya satu yang menentang dan menggunakan kuasa veto, Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS
NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang bersidang pada Khamis secara majoriti menyokong draf resolusi berkaitan perang di Gaza.


Ringkasan AI
  • Daripada 15 anggota Majlis Keselamatan PBB, hanya Amerika Syarikat menolak draf resolusi berkaitan perang di Gaza, menjadikannya veto keenam sejak konflik bermula.
  • Duta Perancis, UK dan China menyuarakan kebimbangan terhadap serangan Israel yang menyebabkan pemindahan paksa, kebuluran buatan dan serangan ke atas hospital kanak-kanak, sambil menyeru gencatan senjata segera.
  • Duta Israel ke PBB berterima kasih kepada AS atas tindakan veto, menyifatkannya sebagai bukti kepimpinan dan pendirian moral dalam menolak resolusi yang dianggap berat sebelah.


Daripada 15 anggota, hanya satu yang menentang dan menggunakan kuasa veto, Amerika Syarikat (AS).

Ini menjadikan ia kali keenam AS menggunakan kuasa veto dalam membatalkan draf resolusi berkait perang di Gaza.

Empat anggota tetap lain yang menyokong draf itu memberi sindiran dan tekanan kepada Israel berhubung konflik kemanusiaan yang semakin membarah di wilayah itu.

Duta Perancis ke PBB, Jerome Bonnafont, berkata serangan Israel yang berterusan dan semakin intensif di pusat bandar Gaza telah menyebabkan pemindahan paksa 300,000 orang.

"Ia memburukkan lagi keadaan kemanusiaan dan kesihatan yang sudah pun terjejas akibat kebuluran dan kekurangan akses kepada barangan asas serta rawatan kecemasan.

"Perancis menegaskan penolakannya terhadap sebarang rancangan pendudukan Semenanjung Gaza dan pemindahan paksa penduduknya.

"Kami menyeru Israel agar menghentikan kempen pemusnahan ini dan segera kembali ke meja rundingan untuk mencapai gencatan senjata serta pembebasan semua tebusan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa resolusi tersebut disokong oleh majoriti besar negara anggota PBB yang mahu mewujudkan satu dinamik politik dan kolektif baharu ke arah keamanan dan keselamatan untuk semua di rantau ini.

Duta United Kingdom ke PBB, Barbara Woodward, turut menyuarakan kebimbangan beliau dan mengakui bahawa Gaza memerlukan gencatan senjata lebih daripada sebelumnya.

"Namun tindakan Israel yang meluaskan operasi ketenteraan secara melulu menjauhkan kita daripada sebarang perjanjian yang boleh membawa pulang para tebusan dan menamatkan penderitaan di Gaza.

"Kita sedang menyaksikan kebuluran buatan manusia sepenuhnya, dengan imej rakyat Palestin yang kelaparan dibunuh ketika cuba mencari sisa makanan untuk keluarga mereka.

"Minggu ini, Israel menyerang Hospital Kanak-Kanak Bandaraya Gaza - bayi dalam inkubator dan kanak-kanak yang menjalani dialisis tidak sepatutnya menjadi sasaran.

"Kami menggesa kerajaan Israel agar menghentikan pertumpahan darah dan segera membenarkan kemasukan bantuan serta membolehkan PBB dan agensi kemanusiaan menyelamatkan nyawa," tegasnya.

Duta China ke PBB, Fu Cong, turut menyatakan kekecewaan beliau hasil keputusan undian tersebut.

“China amat kecewa dengan keputusan undian hari ini. Konflik di Gaza telah berlarutan hampir dua tahun dan menyebabkan bencana kemanusiaan yang belum pernah berlaku.

"Majlis Keselamatan telah berulang kali cuba bertindak, namun dihalang secara agresif oleh Amerika Syarikat.

"Kami tertanya-tanya, berapa ramai lagi nyawa tidak bersalah perlu terkorban sebelum gencatan senjata dapat dicapai?" soalnya.

Dalam pada itu, Duta Israel ke PBB, Danny Danon, menyatakan penghargaan dan berterima kasih kepada Washington atas tindakan veto tersebut.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada AS kerana menunjukkan kepimpinan dan pendirian moral dengan memveto resolusi yang berat sebelah ini," katanya.







#Israel #UNSC #veto #Gaza