[TERKINI] Sistem Pendidikan Malaysia Berubah Bermula 2027: Darjah Satu Umur 6, Penilaian Murid Tahun 4 & Tingkatan 3 – Ini Perkara yang Ibu Bapa WAJIB Tahu
DUNIA

Angka kematian akibat hujan lebat di Zimbabwe cecah 78

Bernama 20/01/2026 | 03:40 MYT
Banjir besar yang melanda Afrika Selatan telah memusnahkan komuniti di Mozambique, Zimbabwe dan beberapa kawasan di Afrika Selatan. - Foto X/Hope SA
HARARE: Sekurang-kurangnya 78 orang dilaporkan maut manakala 61 lagi cedera akibat hujan lebat yang berterusan di seluruh Zimbabwe sejak permulaan musim hujan pada Oktober, menurut Jabatan Perlindungan Awam (DCP) negara itu pada Isnin, lapor Xinhua.

Dalam laporan situasi terkini, DCP berkata hujan lebat merosakkan 1,068 rumah, 41 sekolah, lima fasiliti kesihatan, dan lima jambatan di seluruh negara.

Jabatan itu menambah bahawa lebuh raya utama terjejas teruk, mengganggu aliran trafik dan menyukarkan pergerakan orang, barangan, serta perkhidmatan penting. Infrastruktur jalan raya bandar di beberapa kawasan juga mengalami kerosakan teruk, menyebabkan banyak jalan tidak boleh dilalui.

Menurut DCP, hujan berterusan turut meningkatkan konflik antara manusia dan hidupan liar.

Sebuah empangan di Daerah Seke, Wilayah Mashonaland Timur, kini menjadi zon bahaya kerana peningkatan bilangan badak air, menimbulkan ancaman serius kepada komuniti berhampiran.

"Komuniti tempatan telah berhenti menyeberangi empangan menggunakan perahu untuk aktiviti harian mereka, termasuk ke hadiran ke sekolah, akses ke pasar, klinik, dan perkhidmatan penting lain," tambah DCP.

Musim hujan di Zimbabwe biasanya berlangsung dari Oktober hingga Mac, membawa hujan lebat dan ribut sekali-sekala.

-- BERNAMA






#hujan lebat #banjir #zon bahaya #hidupan liar