JAKARTA: Angka kematian akibat sebuah kapal penumpang yang terbalik dan karam di Laut Jawa, Indonesia, meningkat kepada 78 orang, menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia pada Rabu, lapor Xinhua.
Pasukan penyelamat masih mencari 57 orang yang hilang manakala 108 lagi berjaya dipindahkan ke tempat selamat.
Kapal Virgo Transport 8, yang membawa 243 orang, bertolak dari Surabaya, Jawa Timur pada 12 Sept menuju Banjarmasin, Kalimantan Selatan.
Kapal itu berdepan cuaca buruk dan terputus hubungan kira-kira 2 pagi waktu tempatan pada 13 Sept.
Sejak itu, pasukan penyelamat menemukan mayat dari dalam kapal serta di sepanjang pantai wilayah Kalimantan Tengah.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang mempunyai kira-kira 17,000 pulau, amat bergantung kepada feri dan bentuk pengangkutan laut lain untuk menghubungkan pulau serta memudahkan perjalanan.
Kemalangan maritim berlaku dari semasa ke semasa disebabkan beberapa faktor termasuk keadaan cuaca, keadaan laut dan aspek keselamatan kapal.
-- BERNAMA-XINHUA