Angka kematian akibat Siklon Freddy di Malawi meningkat kepada 499

Bernama
Mac 21, 2023 09:30 MYT
Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan Pasukan Pertahanan, Perkhidmatan Polis Malawi dan dibantu United Kingdom, Tanzania serta Zambia. - AP
LILONGWE: Angka kematian akibat Siklon Tropika Freddy di Malawi mencecah 499 nyawa setakat petang Isnin, manakala mereka yang hilang tempat tinggal meningkat daripada 490,098 kepada 508,244.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh Pasukan Pertahanan, Perkhidmatan Polis Malawi dan United Kingdom dibantu negara jiran, termasuk Tanzania dan Zambia, lapor Xinhua.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Pengurusan Bencana, Charles Kalemba berkata, satu lagi pusat pemindahan telah dibangunkan untuk menempatkan mangsa bencana, menjadikan jumlah keseluruhan kem kepada 534.
Jumlah mangsa yang cedera telah meningkat kepada 1,332, manakala 427 lagi masih hilang.
Jumlah daerah dan bandar yang terjejas kini mencecah 15, dengan tiga lagi daerah di wilayah timur mengalami hujan lebat walaupun selepas Siklon Freddy berlalu.
Komuniti Pembangunan Afrika Selatan telah meluluskan AS$300,000 untuk bantuan kemanusiaan kepada Malawi, yang diumumkan oleh setiausaha eksekutif blok wilayah itu, Elias Magosi pada Isnin.
-- BERNAMA
#Siklon Freddy #angka kematian #Malawi #bencana #SAR