KHARTOUM: Angka kematian akibat pertempuran berterusan di Sudan antara tentera dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) meningkat kepada 850 sejak 15 April, menurut pakar perubatan tempatan pada Sabtu, lapor Anadolu.

Dalam satu kenyataan, Sudan Doctors Syndicate berkata 3,394 orang awam cedera dalam keganasan itu.

Pada Khamis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berkata angka kematian sebanyak 832 dan 3,329 yang lain cedera.

Selepas perbincangan bersemuka di Arab Saudi, tentera Sudan dan RSF menandatangani perisytiharan komitmen pada 11 Mei untuk melindungi orang awam, namun pertempuran masih berterusan antara kedua-dua pihak, terutama di Khartoum.

Sudan tidak mempunyai kerajaan sejak Oktober 2021 apabila tentera memecat kerajaan peralihan Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat dalam satu "rampasan kuasa".

Tempoh kerajaan peralihan Sudan yang bermula pada Ogos 2019 selepas penyingkiran Presiden Omar al-Bashir dijadual berakhir dengan pilihan raya pada awal 2024.

--BERNAMA-ANADOLU