ISTANBUL: Seramai 10 lagi rakyat Palestin terbunuh manakala 25 yang lain cedera dalam tempoh 24 jam lalu di Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah kematian akibat serangan Israel di wilayah yang dikepung itu sejak Oktober 2023 kepada 73,417, menurut Kementerian Kesihatan pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam laporan statistik hariannya, kementerian itu menjelaskan bahawa hospital di Gaza menerima 10 mayat dan 25 mangsa yang cedera dalam tempoh 24 jam lalu.
Kementerian berkenaan tidak memperincikan keadaan yang menyebabkan kematian dan kecederaan itu, ketika tentera Israel terus melanggar gencatan senjata Oktober 2025 menerusi bedilan dan tembakan di beberapa kawasan di wilayah berkenaan.
Sejumlah mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya manakala pasukan ambulans dan pertahanan awam masih tidak dapat mengeluarkan mangsa.
Menurut kementerian, jumlah kematian akibat pelanggaran gencatan senjata oleh Israel meningkat kepada 1,283 orang manakala 4,248 lagi cedera.
Jumlah keseluruhan mangsa serangan Israel kini mencecah 73,417 orang yang terbunuh manakala 174,360 cedera.
Selain mengorbankan nyawa, serangan itu menyebabkan kemusnahan besar-besaran, dengan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam Gaza rosak. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kos pembinaan semula kira-kira US$70 bilion.
-- BERNAMA-ANADOLU