DUNIA

Angka kematian meningkat kepada 52 akibat Taufan Kalmaegi mengganas di Filipina

Astro Awani 05/11/2025 | 03:00 MYT
Petugas penyelamat mengusung seorang penduduk yang cedera ketika Taufan Kalmaegi melanda bandar Cebu di wilayah tengah Filipina. - Foto AP
MANILA: Angka kematian akibat Taufan Kalmaegi yang melanda Filipina terus meningkat kepada sekurang-kurangnya 52 orang, dengan 13 lagi dilaporkan hilang, menurut pihak berkuasa tempatan.


Ringkasan AI
  • Sekurang-kurangnya 52 orang terkorban dan 13 hilang, dengan wilayah Cebu mencatatkan 39 kematian akibat banjir besar dan arus deras.
  • Lebih 700,000 penduduk dipindahkan, manakala ribuan berlindung di pusat sementara; kenderaan dan kontena dihanyutkan, bangunan rosak teruk.
  • Usaha menyelamat diteruskan di tengah-tengah insiden helikopter tentera terhempas dan kesan gempa bumi terdahulu, dengan Cebu kini diisytihar darurat.


Taufan yang dianggap antara paling kuat tahun ini telah menyebabkan banjir besar di wilayah tengah negara itu, khususnya di pulau Cebu, kawasan paling terjejas dengan 39 kematian disahkan setakat ini.

Ribuan penduduk terpaksa berlindung di atas bumbung rumah, manakala kenderaan dan kontena dihanyutkan arus deras yang melanda bandar-bandar utama.

Lebih 700,000 individu telah dipindahkan, dengan ratusan ribu kini berlindung di pusat pemindahan sementara.

Operasi menyelamat masih dijalankan, termasuk usaha mencari mangsa yang terperangkap di kawasan banjir.

Keadaan bertambah buruk apabila sebuah helikopter tentera yang dihantar untuk bantuan kemanusiaan terhempas di Agusan del Sur, mengorbankan enam kru.

Bernardo Rafaelito Alejandro IV dari Pejabat Pertahanan Awam berkata, pihak berkuasa kini memberi tumpuan kepada pemulihan dan bantuan kecemasan di kawasan yang masih bergelut dengan kesan gempa bumi sebelum ini.

Taufan Kalmaegi dijangka bergerak keluar ke Laut China Selatan lewat hari ini, namun amaran cuaca masih dikeluarkan bagi beberapa wilayah barat.

Wilayah Cebu telah mengisytiharkan darurat bagi mempercepatkan pengagihan dana kecemasan dan bantuan kepada mangsa.

Gambar dan video yang tular menunjukkan skala kemusnahan yang luar biasa, dengan jalan raya dipenuhi lumpur dan bangunan rosak teruk.






#Taufan Kalmaegi #angka korban #banjir #arus deras