Lebih 400 orang telah disahkan terkorban akibat tsunami yang dicetuskan oleh gempa bumi kuat di Sulawesi, Indonesia.

Menurut pihak berkuasa, kebanyakan mangsa dihanyutkan ombak besar susulan kejadian dan angka korban dijangka akan terus meningkat pada Ahad.

Puluhan mangsa dilaporkan masih terperangkap di bawah runtuhan sebuah hotel di Palu yang dilanda ombak setinggi enam meter susulan gempa kuat berukuran 7.5 magnitud itu.

Ratusan pengunjung sebelum itu telah berkumpul di tepi pantai bandar berkenaan bagi menghadiri satu pesta pada awal Sabtu sebelum ombak besar itu melanda.

Presiden Indonesia Joko Widodo dijadualkan akan melawat pusat penempatan sementara di Palu hari ini.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Willem Rampangilei memaklumkan angka korban telah mencecah 420 orang, menurut laporan portal berita tempatan Kompas.

"Kira-kira 10,000 mangsa terdampar di 50 kawasan di bandar Palu itu sendiri.

"Kami kini menghadapi masalah untuk mengerakkan jentera berat bagi mengesan mangsa di bawah runtuhan kerana kebanyakan jalan ke Palu telah musnah," dia dipetik sebagai berkata.

Sebelum ini pihak berkuasa berkata angka korban adalah 384 orang.

BACA: Angka korban tsunami Palu meningkat 384 orang

Video yang dirakam orang ramai dan disiar stesen televisyen tempatan menunjukkan detik ombak tinggi itu melanda persisiran pantai Palu lalu memusnahkan rumah.

Beberapa kontena kapal turut dihanyutkan serta sebuah masjid di bandar tersebut dinaiki air.

Puluhan mangsa menerima rawatan di khemah sementara yang didirikan pasukan penyelamat.

Pihak berkuasa turut mengesahkan foto yang menunjukkan mayat bergelimpangan di tepi jalan bandar Palu pada Sabtu.

Pihak berkuasa mengesahkan foto yang menunjukkan mayat bergelimpangan di tepi jalan bandar Palu. - Foto ihsan media tempatan

Jurucakap BNPB, Sutopo Nugroho berkata kemusnahkan di bandar tersebut berleluasa dan ribuan rumah, hospital, pusat membeli-belah dan hotel telah musnah dalam kejadian tersebut.

Sebuah jambatan turut hanyat dan jalan raya utama ke Palu terputus akibat tanah runtuh.

"Tsunami ini tidak hanya mengakibatkan ombak besar malah ia membawa bersama kereta, balak, rumah dan apa sahaja yang menghalangnya," katan Nugroho.

Tambahnya tsunami tersebut bergerak di laut pada kelajuan 800 ksj sebelum melanda pantai.

Jelasnya angka korban dan kemusnahan dijangka lebih teruk di kawasan 300 km utara Palu, satu kawasan yang dikenali sebagai Donggala kerana ia lebih dekat kepada pusat gempa tersebut.

Persatuan Palang Merah berkata dalam satu kenyataan, anggotanya dan pasukan sukarelawan kini sedang bergegas ke kawasan tersebut.

"Kami hanya menerima sedikit maklumat tentang kemusnahan di Palu dan tiada maklumat langsung dari Donggala.

"Ini yang merisaukan kita kerana terdapat lebih 300,000 penduduk di sana.

"Keadaan ini boleh dikatakan satu tragedi dan ia mungkin akan menjadi bertambah buruk," katanya.

Sementara itu Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla berkata angka korban susulan kejadian tersebut mungkin akan mencecah ribuan mangsa.